Batu Puteh: Puad mahu saman Dr. Mahathir RM3 bilion

Batu Puteh: Puad mahu saman Dr. Mahathir RM3 bilion

MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menawarkan dirinya untuk menyaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkenaan isu Batu Puteh.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit memberitahu, pertikaian membabitkan Batu Puteh adalah soal maruah dan kedaulatan Johor dan negara. 

Sehubungan itu, katanya, Dr. Mahathir perlu disaman dan mesti membayar ganti rugi dengan nilai bersesuaian adalah sebanyak RM3 bilion.

“Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mendesak tindakan undang-undang diambil ke atas pengkhianat yang menyebabkan negara kehilangan Batu Puteh selama lamanya.

“Siapakah pengkhianat itu, walaupun beliau tidak sebut nama tetapi semua tahu Tun Mahathir adalah individu yang bertanggungjawab. Kita tidak lagi boleh berbuat apa-apa kerana tempoh merayu sudah tamat. 

“Sebagai pengajaran kekal, Tun Mahathir mesti disaman dan bayar ganti rugi. RM3 bilion paling sesuai, baru padan. Justeru, saya tawar diri untuk saman Tun Mahathir kerana ini soal maruah. Dia jual kedaulatan Johor dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

MOHD. PUAD ZARKASHI

Beliau berkata, rakyat tidak tahu bilakah tempoh merayu bagi kes Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tamat, tetapi rupa-rupanya Dr. Mahathir telah batalkan permohonan semakan kehakiman. 

“Apakah Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahu, apa muslihat Tun Mahathir? Terkini, Tun Mahathir tetap angkuh, dia enggan hadiri siasatan Pasukan Petugas Khas Batu Puteh. Dia pengkhianat dan penjenayah. Tubuh segera RCI Batu Puteh,” ujarnya.

Pada 26 Jun lalu, Onn Hafiz menggesa agar tindakan undang-undang diambil terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) atas pengkhianatan sehingga menyebabkan negara kehilangan hak dan kedaulatan terhadap Batu Puteh kepada Singapura.

Beliau dilaporkan berkata, hal itu kerana kerajaan PH membuat keputusan untuk tidak meneruskan tuntutan ke atas Batu Puteh yang bukan sahaja meninggalkan satu ‘precedent’ yang buruk kepada negeri dan negara, malah mencatatkan satu detik hitam dalam sejarah negara.

Sebelum itu, pada 16 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan perasaan kecewa dengan keputusan kerajaan Persekutuan membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh pada 2018. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya