KOTA BHARU: Azman Mahmod, 61, meluahkan rasa terkilan tidak menunaikan solat Jumaat semalam selepas bongsunya Muhammad Zul Hafiz Azman,18, ditemukan lemas di Sungai Gong Dermin, Kubang Kerian, di sini pagi semalam.
Beliau berkata, sebelum kejadian mereka sudah berjanji untuk solat Jumaat bersama-sama, selain Muhammad Zul Hafiz mahu membantunya mengangkut barang untuk berpindah ke negeri ini selepas bersara.
Menurutnya, sebelum ini mereka sekeluarga menetap dan bekerja di Selangor.
“Jadi minggu ini saya bercadang untuk mengambilnya di Pondok Terusan Limbat dan kami berjanji menunaikan solat Jumaat sama-sama sebelum pulang ke rumah di Kampung Tebing Tinggi, Kemumin, Pengkalan Chepa.
“Namun saya dikejutkan dengan berita sedih apabila menerima perkhabar Muhammad Zul Hafiz dikhuatiri hilang sebelum ditemukan lemas hari ini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Universiti (HUSM) Kubang Kerian semalam.
Azman memberitahu, kali terakhir dia menghubungi Muhammad Zul Hafiz adalah semalam menerusi aplikasi WhatsApp mengenai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan.
Katanya, walaupun keputusan Muhammad Hafiz sederhana mereka sekeluarga tetap gembira dengan keputusan tersebut.
“Saya sempat ucap tahniah kepadanya dan dia (Muhammad Hafiz) turut berpesan supaya tidak lupa janji temu itu.
“Anak bongsu saya sebelum ini tidak pernah mandi di sungai. Saya sering melarang jika dia mahu berbuat demikian.
“Saya hanya dapat tahu dia lemas dan tidak tahu berdekatan kawasan sekolahnya itu ada sungai. Saya menerima berita ini dengan reda namun masih lagi terkejut,” ujarnya.
Muhammad Zul Hafiz adalah salah seorang daripada dua pelajar sekolah pondok Terusan Limbat, Pasir Tumboh di sini yang ditemui terapung dalam keadaan berpelukan di Sungai Gong Dermin, Kubang Kerian di sini hari ini selepas 15 jam hilang.
Mayat Allahyarham bersama rakannya, Luqman Hakim Azman, 16, ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi mereka mandi-manda bersama 10 rakan yang lain. –UTUSAN










