pencen suami

Balu nelayan lemas tak sangka suami ada pencen

HAIRUNISA Sandari (kanan) menerima bantuan pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 yang disampaikan oleh Hasrunizah Hassan di rumahnya di Kampung Dalam Ayer Baloi, di Pontian, Johor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pemergian seorang nelayan yang lemas ketika keluar menjaring ikan minggu lalu rupa-rupanya meninggalkan sesuatu kepada keluarga apabila akan menerima pencen pada setiap bulan.

Hairunisa Sandari, 54, balu kepada Allahyarham Abu Bakar Mohammad tidak mengetahui bahawa suaminya ada membuat caruman bersama Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Katanya, dia bersyukur dengan adanya caruman yang dibuat oleh arwah suaminya telah membolehkannya menerima pencen bulanan yang akan digunakan bagi menampung perbelanjaan harian.

“Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Johor  kerana membantu menguruskan caruman yang dibuat oleh arwah suami.

“Walaupun kehilangannya tidak dapat diganti, tetapi arwah telah mengambil langkah untuk menjaga kebajikan ahli keluarga yang ditinggalkan ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima faedah itu di rumahnya di Kampung Dalam Ayer Baloi, di sini, semalam.

Dalam majlis tersebut, Hairunisa menerima faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.

Selain itu, Hairunisa juga menerima faedah orang  tanggungan sebanyak RM567 sebulan yang akan diterima sepanjang hayatnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Perkeso Johor, Jamalluddin Mohammad berkata, Allahyarham Abu Bakar adalah pencarum SKSPS sebanyak RM157.20 bermula 15 Jun tahun lalu, manakala rakannya yang turut lemas, Khalid Mohammad juga mencarum dengan Pelan 1 SKSPS bermula 15 Oktober 2021.

Menurut beliau, caruman kedua-dua nelayan tersebut  telah dibayar menerusi potongan Elaun Sara Hidup Nelayan iaitu kolaborasi strategik antara Perkeso dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Memandangkan Allahyarham Abu Bakar meninggalkan balu, isterinya layak menerima faedah orang tanggungan manakala waris Allahyarham Khalid hanya menerima bantuan pengurusan jenazah  sebanyak RM2,000,” ujarnya.

Dalam kejadian pada 2 Jun lalu, kedua-dua rakan nelayan itu dilaporkan hilang selepas turun ke laut untuk menangkap ikan.

Mayat Khalid ditemukan sehari kemudian, manakala mayat Abu Bakar ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada keesokan harinya setelah dua operasi operasi penyelamatan dilakukan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN