ISKANDAR PUTERI: Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) atas pengkhianatan sehingga menyebabkan negara kehilangan hak dan kedaulatan terhadap Batu Puteh kepada Singapura.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pada ketika itu Kerajaan PH membuat keputusan untuk tidak meneruskan tuntutan ke atas Batu Puteh atau Pedra Branca.
Katanya, keputusan itu bukan sahaja meninggalkan satu precedent yang buruk kepada negeri dan negara, malah mencatatkan satu detik hitam dalam sejarah negara.
“Ini soal kedaulatan dan maruah negara, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pernah menyebut secara jelas bahawa Batu Puteh pernah menjadi Kesultanan Johor yang berdaulat.
“Persoalannya sekarang ialah, siapa yang menasihati kerajaan membuat keputusan yang melulu sedangkan Peguam Negara dicutikan pada ketika itu.
“Rakyat Malaysia, terutama Bangsa Johor amat mengambil berat dan memandang serius terhadap perkara ini. Mana mungkin maruah dan kedaulatan negara ini digadaikan begitu sahaja,” katanya dalam sesi penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Pada 16 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengingatkan kerajaan Persekutuan supaya menghormati perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan 1957.
Sultan Ibrahim dilaporkan kecewa dengan keputusan kerajaan Persekutuan membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh pada 2018.
Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, meskipun ada yang beranggapan Batu Puteh tidak memiliki kepentingan ekonomi yang signifikan, namun ia tidak boleh menafikan erti dan kepentingannya dari sudut kedudukan strategik maritim.
Beliau berkata, meskipun saiznya sebesar padang bola (8,560 meter persegi), Batu Puteh terletak begitu dekat dengan negeri ini, iaitu 14.3 kilometer dari Tanjung Penyusop, berbanding 46 kilometer dari Changi, Singapura.
“Kedudukan Batu Puteh juga amat strategik, iaitu terletak di laluan utama bagi kapal-kapal dagang yang melalui Selat Melaka dan Laut China Selatan.
“Kehilangan Batu Puteh memberi kesan negatif kepada rakyat Malaysia, terutama para nelayan yang mengeluh kerana sumber pendapatan hasil laut mereka terjejas,” jelasnya.
Tambahnya, Batu Puteh sebelum ini adalah kawasan perikanan penting bagi nelayan-nelayan negara dan juga tempat mereka berteduh ketika ombak besar dan ribut.
Katanya, memandangkan Batu Puteh kini menjadi hak Singapura, ia menimbulkan pertikaian tuntutan bertindih kawasan maritim, apatah lagi jarak Batuan Tengah milik Malaysia hanya kira-kira satu kilometer daripada Batu Puteh.
“Pertikaian tersebut kini menjadi lebih serius apabila laporan menyatakan bahawa Singapura telah mula menjalankan kerja-kerja penambakan di Batu Puteh, sedangkan perbatasan maritim masih lagi dalam perundingan dan belum dimuktamadkan.
“Sebagai sebuah negara yang berdaulat, tiada ruang untuk pemimpinnya mengambil ringan atau alpa dalam mempertahankan kedaulatan negara, walaupun sekecil atau sekelumit manapun saiz kawasan yang menjadi rebutan, setiap inci perlu kita jaga dan pertahankan,” katanya. – UTUSAN