Amaran Syamsul kepada yang memuat naik rakaman Mat Kilau - Utusan Malaysia

Amaran Syamsul kepada yang memuat naik rakaman Mat Kilau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah prolifik, Syamsul Yusof menegaskan pihaknya tidak akan berhenti dalam usaha membanteras perbuatan tidak bertanggungjawab beberapa orang pengguna media sosial yang merakam dan memuat naik sedutan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan di platform berkenaan baru-baru ini.

Syamsul berkata,pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dan mengheret sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang membuat rakaman haram melebihi durasi yang ditetapkan.

“Baru-baru ini pun saya ada umumkan di Instagram tentang pengguna Tiktok yang berbuat demikian. Saya dan pihak penerbit telah buat laporan polis dan Alhamdulillah, pihak berkuasa telah mengenal pasti alamat IP individu-individu terbabit.

 

SYAMSUL YUSOF

“Selepas beri amaran itu semua, ramai yang lain pun sudah menurunkan rakaman yang mereka buat termasuklah mereka yang terlibat. Tetapi kami tetap akan terus buat pemantauan dari semasa ke semasa.

“Saya pun terharu kerana ramai yang sokong filem ini dan mereka secara peribadi, menghantar mesej mengenai pihak yang tak bertanggungjawab seperti ini. Secara tak langsung, mereka jadi mata-mata untuk maklumkan kepada saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Selain itu, kata Syamsul, dia juga perlu bertegas dalam hal ini kerana bimbang kejadian 2018 berulang lagi.

“Saya tak nak kejadian filem Munafik 2 pada tahun 2018 berulang lagi. Sehingga terpaksa bawa kes itu ke mahkamah, saman-menyaman, ibu bapa individu terbabit pun datang ke mahkamah menangis-nangis minta saya tarik balik kes.

“Maaflah, ini isu berat. Harus ada kesedaran kepada masyarakat. Janganlah cari penyakit kalau tak mampu bayar saman. Nanti diisytihar muflis dan nama pun akan disenarai hitamkan dan hidup pun akan jadi susah lepas itu,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pandangannya berhubung isu segelintir pihak cuba memboikot dan menjatuhkan filem Mat Kilau, Syamsul bagaimanapun sentiasa percaya kepada rezeki Tuhan.

“Saya kalau boleh tak nak ulas panjang mengenai hal ini sebab sebelum ini pun pernah saya berikan kenyataan. Memang ada orang nak boikot dan jatuhkan filem Syamsul Yusof, itu terpulang pada hak masing-masing.

“Saya percaya pada rezeki Allah SWT. Itu cukup untuk saya ulas. Kalau komen lebih-lebih jadi fitnah pula, jadi bualan pula. Tak perlulah fitnah semua ini, rezeki di tangan Allah SWT,”katanya.

Dalam pada itu, hari ini, kutipan untuk filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan telah mencecah lebih RM12 juta dalam masa empat hari tayangannya di pawagam.

Perkara itu juga membuatkan Syamsul berbangga kerana filem Mat Kilau ini telah mencatatkan kejayaan mengatasi filem antarabangsa, Jurassic World dan Top Gun Maverick di pawagam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya