73 laporan palsu babit kehilangan kad pengenalan

73 laporan palsu babit kehilangan kad pengenalan

ZAINAL MOHAMED MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Polis menerima sebanyak 73 laporan palsu di daerah ini bagi tempoh Januari lalu hingga hari ini.

Daripada jumlah itu, 71 kes sudah didakwa di mahkamah, manakala dua lagi kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, hasil siasatan dilakukan pihaknya mendapati kebanyakan individu membuat laporan palsu berkenaan mengelak mahu membayar denda kehilangan kad pengenalan (MyKad).

Jelas beliau, semakan dilakukan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati individu yang kehilangan kad pengenalan perlu membayar denda RM110 (kali pertama), RM310 (kali kedua) dan RM1,100 (kali ketiga).

“Berdasarkan kes diterima, kebanyakan individu berkenaan mendakwa mereka disamun dan diragut selain dipukul serta curi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelupusan Barang Kes yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini hari ini.

Tambah Zainal, berdasarkan kes diterima, kebanyakan individu berkenaan mendakwa mereka disamun dan diragut selain dipukul serta curi.

“Di pihak kami, siasatan akan dilakukan sebaik laporan diterima. Hasil siasatan lanjut dilakukan mendapati ada keraguan dalam laporan itu yang membongkar penipuan mereka.

“Justeru, kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu hanya kerana mahu mengelak bayaran denda kehilangan kad pengenalan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zainal mengingatkan kepada orang ramai, pihak polis bukanlah ‘jambatan’ untuk orang ramai mengelak membayar denda kehilangan dokumen berkenaan.

Katanya, individu yang didapati bersalah bagi kesalahan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan berasingan, pihaknya melupuskan 12,438 barang kes membabitkan 1,335 kertas siasatan yang dibuka pada 2010 hingga tahun ini.

Menurutnya, barang kes berkenaan yang bernilai RM 5.3 juta itu membabitkan kes disiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak.

“Selain itu, kami turut melupuskan 50 wang palsu berjumlah RM4,350 membabitkan 43 kertas inkuiri polis menerusi siasatan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Gombak.

“Tindakan pelupusan ini dibuat dengan kebenaran majistret selepas kes berkenaan sudah dibicarakan dan pesalah dikenakan hukuman oleh mahkamah.

“Semua barang dilupuskan secara ‘e-waste’ (e-sisa) dengan memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.