5G: Beri lesen kepada pemain baharu jika syarikat telco berdolak-dalih

5G: Beri lesen kepada pemain baharu jika syarikat telco berdolak-dalih

Kementerian Kewangan bersedia untuk memberi bantuan kepada syarikat telekomunikasi bagi transisi internet generasi baharu 5G. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia mempertimbangkan insentif fiskal untuk membantu syarikat telekomunikasi beralih kepada 5G bagi mengurangkan sebarang kesan komersial jangka pendek dalam menyediakan perkhidmatan itu kepada pelanggan mereka.

Menurut penganalisis politik, Azizul Hakim Abd. Aziz, dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang, syarikat-syarikat telekomunikasi itu akan meraih faedah 5G tanpa memerlukan bantuan tambahan daripada kerajaan.

Bagaimanapun, kata beliau, jika syarikat-syarikat telekomunikasi terutamanya yang lebih besar terus menangguhkan penyediaan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mempertimbangkan pilihan lain seperti mengeluarkan lesen baharu kepada pemain baharu untuk membolehkan penyediaan pantas perkhidmatan 5G di negara ini.

“Ketegasan ini juga wajar diberi perhatian untuk masyarakat tidak lagi disukarkan akibat tindakan flip flop sesetengah syarikat telekomunikasi yang masih lagi berdolak-dalih.

“Ia tatkala kerajaan mengumumkan satu model perkongsian awam-swasta sehinggakan peruntukan ekuiti Digital Nasional Berhad (DNB) diumumkan untuk diagih kepada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) setinggi 70 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengumumkan kesediaan untuk memberikan bantuan kepada syarikat telekomunikasi bagi transisi internet generasi baharu 5G. 

Hasrat itu demi memastikan kesegeraan dalam peralihan 5G yang tidak boleh ditangguh lagi demi kepentingan rakyat apabila sebelum ini landskap pembangunan 5G terlihat kabur apabila keengganan syarikat telekomunikasi memberikan kerjasama dengan DNB.

Azizul Hakim berkata, peringkat pertama proses pengambilan ekuiti melibatkan pengumpulan maklum balas daripada syarikat-syarikat telekomunikasi mengenai dokumen perundingan sulit dikeluarkan DNB berjaya diselesaikan pada awal bulan ini. 

Jelasnya, kini proses itu berada di peringkat kedua iaitu pengagihan ‘Term Sheet’ untuk penyertaan ekuiti syarikat telekomunikasi yang meringkaskan terma-terma utama iaitu DNB akan ditadbir sebagai entiti dengan Kementerian Kewangan dan syarikat telekomunikasi sebagai pemegang saham. 

“DNB dan syarikat telekomunikasi yang berminat kemudiannya akan berusaha untuk menandatangani ‘Term Sheet’ itu secepat mungkin.

“5G akan melonjakkan ekonomi sebanyak RM650 bilion dan mewujudkan 750,000 pekerjaan bernilai tinggi mulai sekarang hingga tahun 2030. Oleh itu, kejayaan pelaksanaan 5G adalah soal kepentingan awam,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau,  isu yang lebih besar ialah akses rakyat Malaysia dan perniagaan kepada teknologi 5G dan kepentingan negara serta rakyatnya mesti diutamakan daripada kepentingan komersial syarikat telekomunikasi. 

Katanya, ketersediaan dan penggunaan 5G menyumbang kepada cita-cita digital negara di samping memastikan kesalinghubungan sebagai hak asas rakyat Malaysia.

“Adalah wajar bagi kerajaan memberikan ultimatum kepada syarikat telekomunikasi. Bantal sudah disorongkan, jika mahukan mimpi lain-lain, wajarlah kerajaan segera memilih pemain baharu yang senada mengangkat aspirasi kesejahteraan rakyat bersama, berbanding keutamaan ekonomi industri di balik tirai kapitalisme,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.