gagal diburu

40,584 penjenayah gagal diberkas, ada bersembunyi di luar negara

Antara kekangan dihadapi polis bagi memburu orang yang dikehendaki adalah aspek perundangan selain tidak mendapat kerjasama pihak berkaitan dalam memberikan maklumat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 40,584 penjenayah dalam senarai dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal diburu dan masih bebas antara lainnya kerana bersembunyi di luar negara.

Daripada jumlah yang di­kehendaki dari 2018 hingga 10 Jun lalu itu, 27,055 individu adalah penjenayah yang terlibat dengan kes dadah diikuti 6,877 orang membabitkan pelbagai jenayah, 6,575 individu kes-kes jenayah komersial manakala 77 individu lagi berkaitan kesalahan trafik.

Individu-individu yang diburu itu ada yang terlibat dalam kes bu­nuh, samun, rogol, jenayah si­ber, pecah amanah dan banyak lagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, antara individu yang dikesan kerap melakukan jenayah di bawah Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan ialah Ganesparan Nadaraja, 40.

Menurut beliau, sejak tahun 2018 sehingga kini polis membuka 18 kertas siasatan terhadap lelaki itu yang kini dipercayai berada di Jerman.

Selain Ganesparan, kata Abd. Jalil, pihaknya turut mengenal pasti kedudukan editor buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia, Kean Wong, yang gambar kulit buku terbabit berelemen menghina Jata Negara apabila dikesan berada di Australia.

“Kita komited dalam menjejaki penjenayah buruan ini dengan mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa negara tertentu namun terdapat pelbagai kekangan antaranya dari segi perundangan.

“Ini kerana terdapat undang-undang misalnya Akta Hasutan 1948 yang tidak terpakai di negara-negara tertentu atas dasar kebebasan bersuara. Namun di negara kita ia tetap menjadi kesalahan.

“Malah ada pihak-pihak berkaitan yang tidak memberikan kerjasama, misalnya memberikan alasan seperti tidak mengetahui individu itu di mana atau tidak mempunyai nombor telefon terkini.

“Selain itu, ada orang dikehendaki menggunakan alamat palsu atau tidak pernah berdaftar dengan syarikat telekomunikasi sehingga sukar dikesan,” katanya di sini semalam.

Bagaimanapun, dalam tempoh sama sebanyak 29,927 individu yang dikehendaki itu berjaya ditahan polis manakala bakinya masih berstatus orang buruan.

Menurut Abd. Jalil, sejak tahun 2018 hingga kini, semakan rekod dijalankan mendapati sebanyak 59 notis merah dan 34 notis biru yang telah dipohon pihak berkuasa negara bagi menjejaki penjenayah buruan.

“Bagaimanapun, jumlah ini tidak melambangkan jumlah sebenar kerana permohonan tersebut memerlukan justifikasi daripada bidang kehakiman negara,” ujarnya.

“Dalam usaha mengesan penjenayah ini, pihak polis sentiasa memantau secara berterusan senarai wanted terkini melalui sumber dalaman dan luaran bagi menjejaki individu-individu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN