20 bekas pelajar mengaku pukul rakan di sekolah - Utusan Malaysia

20 bekas pelajar mengaku pukul rakan di sekolah

ANGGOTA polis mengiringi sekumpulan bekas pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Merbok yang mengaku bersalah memukul seorang pelajar lain di Mahkamah Majistret Sungai Petani, di sini. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seramai 20 bekas pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Merbok, di sini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas dakwaan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar sekolah sama, dua tahun lalu.

Kesemua tertuduh yang terdiri daripada 10 remaja berusia 18 tahun dan 10 lagi berusia 19 tahun membuat pengakuan berkenaan ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.

Dalam prosiding secara tertutup itu, seramai 10 daripadanya didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang bekas pelajar berusia 16 tahun di dalam kawasan asrama kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 27 Oktober 2020.

Manakala, 10 lagi tertuduh juga didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada pukul 2 pagi, hari dan lokasi yang sama.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeyaa, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Nurliyana Mohd. Radzi.

Mahkamah menetapkan 10 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak, selain membenarkan kesemua tertuduh dijamin RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, polis menerima laporan sehari selepas kejadian yang mana mangsa mendakwa dipukul sekumpulan pelajar asrama pada dua waktu yang berlainan.

Beliau berkata, mangsa dimaklumkan oleh rakan asrama bahawa pelajar senior ingin berbincang sesuatu dengannya di tingkat bawah bangunan asrama itu pada pukul 12.30 tengah malam hari kejadian.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di tingkat bawah, sekumpulan 10 pelajar senior tingkatan lima yang berada di situ telah memukul mangsa. Kemudian kira-kira pukul 2 pagi, dia diminta berjumpa dengan 10 lagi pelajar tingkatan empat sebelum turut dipukul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan siasatan, tindakan itu dipercayai akibat tidak berpuas hati kepada mangsa yang ketika itu memegang jawatan Presiden Badan Dakwah dan Rohani sekolah itu yang telah mengarahkan kesemua suspek mengosongkan padang bola selepas waktu riadah.

“Mangsa memaklumkan bergilir-gilir dipukul kesemua suspek di bahagian perut, belakang badan, peha dan kaki sehingga mengalami lebam dan sakit di bahagian-bahagian itu akibat kejadian berkenaan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.