ISKANDAR PUTERI: Seramai 125 peniaga ayam dan telur di negeri ini dikenakan kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kerana menjual produk tersebut melebihi harga kawalan ditetapkan bermula 5 Februari hingga 30 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, tindakan tersebut diambil setelah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor melakukan pemeriksaan terhadap 4,657 premis peruncit, pemborong dan pengeluar.
Menurutnya, tindakan dikenakan terhadap 10 peladang, 15 pemborong dan 100 peruncit itu melibatkan kompaun berjumlah RM102,600.
“KPDNHEP Johor giat melaksanakan penguatkuasaan serta pemeriksaan menangani isu kenaikan harga barang yang dilaporkan menerusi pelbagai pendekatan berterusan dan agresif dengan pelaksanaan Op Pasar, Op Rantai dan Op Catut bagi menangani isu kenaikan harga barangan tertentu.
“Seramai 92 Pegawai Pemantau Harga (PPH) juga aktif mengumpul informasi terkini dan membuat kutipan data harga barangan keperluan pengguna terpilih secara harian, mingguan dan bulanan dalam pasaran sebagai rujukan untuk merangka pelan perancangan serta tindakan komprehensif bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan barangan.
“Setakat Jun 2022, pelaksanaan inisiatif ini melibatkan 22 premis pasar basah, 28 pasar mini, 67 pasar raya dan 22 kedai runcit di semua daerah di seluruh negeri Johor,” katanya ketika menjawab soalan Nor Rashidah Ramli (BN-Parit Raja) tentang tindakan, laporan penguatkuasaan dan perancangan kerajaan negeri dalam menangani kenaikan harga barang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Ting Han memberitahu, sebanyak 28 peniaga telah didakwa dengan nilai kompaun RM3,800 kerana mengambil kesempatan menaikkan harga tanpa mendapat keuntungan yang tinggi semasa perayaan Tahun Baharu Cina lalu.
“Bagi sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri pula, seramai 14 individu didakwa dengan nilai kompaun RM2,000 atas kesalahan sama,” katanya. – UTUSAN










