KUALA KRAU: Seramai 112,638 peneroka Felda seluruh negara mula resah dan ‘tidak senang’ duduk berikutan aliran harga buah tandan segar (BTS) sawit jatuh sejak kebelakangan ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Kilang Sawit Felda Jengka 21, Razak Daud berkata, lebih membimbangkan, harga BTS itu turun setiap hari sepanjang bulan ini berbanding kadar turun naik harga secara mingguan sebelum ini.

Beliau berkata, pada 1 hingga 14 Jun lalu, harga BTS adalah RM1,400 satu metrik tan, 15 hingga 20 Jun (RM1,170) dan 21 hingga 22 Jun terus turun kepada RM1,000 satu metrik tan.
“Harga BTS ketika ini hanya RM1,000 satu tan metrik berbanding harga tertinggi lebih RM1,800 sebelum ini.
“Ia turun hingga RM800 dalam jangka masa singkat dan situasi ini meresahkan warga peneroka yang baharu tersenyum lebar menikmati harga sawit tertinggi dalam sejarah negara,” katanya ketika mengulas trend harga BTS sawit di pasaran negara di sini semalam.
Razak yang juga Pengerusi Biro Sosial dan Ekonomi Gabungan Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka berharap kerajaan bertindak pantas memastikan harga BTS stabil sekitar RM1,500 satu tan metrik.
Menurutnya, kerajaan perlu proaktif meneroka pasaran baharu minyak sawit termasuk ke benua Afrika, Eropah dan juga di negara-negara Arab.
Ini kerana ujarnya, komoditi itu masih berdepan diskriminasi oleh negara Kesatuan Eropah (EU) yang bimbang berhubung persaingan dengan minyak kacang soya.
“Oleh itu, dalam usaha mengatasi kebimbangan peneroka dan pekebun kecil, kerajaan perlu mengambil pendekatan memperkasa serta menstabilkan harga komoditi itu di pasaran dunia,” katanya.
Razak berkata, harga sawit menjunam dalam sekelip mata itu jika tidak dikawal akan menjejaskan kualiti hidup masyarakat peneroka yang mungkin berada ke paras kemiskinan tegar.
“Dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan keperluan harian seolah-olah tiada kawalan kerajaan, ia turut memberikan kesan kepada kehidupan warga peneroka,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 menegaskan, isu kekurangan tenaga buruh asing juga masih tergantung tidak bertali, kini di tambah pula dengan trend penurunan harga BTS sawit. –UTUSAN









