PUTRAJAYA: Institusi tahfiz di negara ini perlu ‘diputihkan’ dengan memastikan kira-kira 1,000 pusat pengajian itu yang belum berdaftar berbuat demikian demi kebajikan pelajar terbela dan tidak dieksploitasi.
Usaha itu bagi melindungi sejumlah 63,168 pelajar dan 8,484 guru di 1,208 institusi tahfiz yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) daripada terkena tempias negatif ekoran masalah yang berlaku di pusat pengajian tidak sah.
Ia bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak cuba menangguk di air keruh dengan membina pusat pengajian atas dasar agama, namun tidak berdaftar dengan pihak berkuasa hingga menimbulkan kesukaran apabila berlaku sesuatu masalah berkaitan keselamatan dan sosial.
Lebih mengecewakan, terdapat pihak berselindung di sebalik institusi agama itu untuk memancing simpati orang ramai untuk mengutip sumbangan yang kemudiannya disalahgunakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, untuk mendaftar, institusi-institusi tahfiz adalah di bawah PBAN yang diberi hak peruntukan undang-undang negeri, seterusnya merekod pendaftaran tersebut dalam Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) diselaras Jakim.
“Bagi menangani perkara ini secara holistik, Jakim seringkali mengadakan libat urus bersama PBAN dan agensi-agensi lain supaya ia ditangani dengan penuh hikmah tanpa membelakangi hak-hak pelajar.
“Ini demi memastikan pelajar mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dalam suasana yang kondusif serta memelihara mereka daripada dieksploitasi dan seumpamanya,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani isu dan melindungi kumpulan rentan seperti orang kurang upaya (OKU), anak-anak yatim, golongan wanita serta warga emas.
Jawatankuasa khas melibatkan pelbagai kementerian itu turut akan menangani pusat-pusat jagaan yang tidak berdaftar termasuk institusi-institusi agama seperti pusat tahfiz.
Kepentingan pendaftaran juga bertujuan memudahkan penyaluran bantuan dari pihak kerajaan demi kelangsungan institusi berkenaan yang banyak diusahakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau persendirian.
Hakimah berkata, sebagai contoh, Kerajaan Persekutuan meluluskan sejumlah peruntukan bagi tujuan selenggara dan naik taraf dan sehingga 30 Mac lalu, sebanyak RM26.4 juta bagi manfaat 434 institusi merangkumi sekolah agama, tahfiz dan pondok.
Katanya, bagi menjamin kelangsungan dan seterusnya memperkasa institusi pendidikan tahfiz, kerajaan mewujudkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sejak 2016 dengan merangka pelbagai inisiatif bagi menangani segala isu berkaitan dengan institusi-institusi tahfiz di Malaysia.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan DPTN ialah mewujudkan Garis Panduan Penubuhan dan Pendaftaran Institusi Tahfiz bertujuan membantu institusi tahfiz mendaftar bagi membolehkan mereka layak menerima segala insentif yang disediakan kerajaan.
“Dalam masa sama, pihak kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa memohon peruntukan khas untuk disalurkan kepada sekolah agama, tahfiz dan pondok bagi memastikan pelajar-pelajarnya dapat meneruskan pendidikan secara kondusif dan selamat,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Permata, Mohd. A’fifi Abdul Rahman berkata, pendaftaran sesebuah pusat tahfiz amat penting demi melindungi pusat pengajian itu apabila timbul masalah-masalah berbangkit seperti keselamatan berkaitan kebakaran dan menyukarkan ia ditangani kerana tiada dalam senarai pendaftaran.
“Usaha pendaftaran ini ada kesinambungan dengan pengiktirafan, sekiranya apa-apa berlaku ia lebih mudah untuk memantau.
“Pusat tahfiz ini ada yang beroperasi di tempat sewaan sementara sebelum ada bangunan sendiri. Jadi proses pemutihan itu bermakna pusat tahfiz itu tidak lagi akan ada di premis seperti rumah kedai atau kawasan perumahan, ia perlu tempat bersesuaian.
“Melalui garis panduan Jakim dalam pembukaan tahfiz baharu adalah ketat dan ikut standard. Pusat tahfiz sedia ada pula perlu mengikut cara betul, itu maksud pemutihan, perlu cari tempat sesuai, bangunan dah ada perlu ikut kaedah dan spesifikasi keselamatan sesuai,” katanya. – UTUSAN










