KUALA SELANGOR: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Nelayan Bagan Sungai Yu di sini, menggesa kerajaan Selangor mewartakan rizab jalan itu bagi mengelak kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian.
Gesaan itu dibuat berikutan kebimbangan terhadap risiko pencerobohan kediaman dan jeti nelayan di kawasan tersebut apabila rizab jalan sejauh tiga kilometer (km) diserahkan kepada pemaju.
Penduduk, Amran Omar, 50, berkata, mereka kini hidup dalam kegelisahan sekiranya diusir pada bila-bila masa sahaja.
“Jika jalan rizab awam ini tidak diwartakan, kami bimbang ia diambil alih pemaju hingga menyebabkan kami terpaksa berpindah dan hilang punca pendapatan.
“Saya menetap di kampung ini lebih 13 tahun lalu dan buntu jika kawasan kediaman diroboh pemaju,” kata peniaga makan itu ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, kira-kira 200 penduduk berkumpul di hadapan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor di sini, bagi menyerahkan memorandum menuntut pewartaaan rizab jalan kampung itu.
Bagi Muhamad Zulkarnien Suhaimi, 31, penduduk meminta campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menyelesaikan isu yang dihadapi sejak tiga tahun lalu itu.
“Ia perlu disegerakan kerana kami sudah membina generasi kampung ini sejak puluhan tahun. Jika rizab itu diambil, kami bimbang rumah, perniagaan dan sumber ekonomi kami akan terjejas,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Mempertahankan Kampung Nelayan Bagan Sungai Yu, Tiu Teck Huat berkata, penyerahan memorandum itu bertujuan mendesak kerajaan negeri menyelesaikan segera tuntutan penduduk.
“Tuntutan itu rasional kerana rizab jalan hanya terletak kira-kira 50 meter dari rizab sungai. Mustahil jalan ini milik individu kerana ia menjadi nadi perhubungan penduduk berulang alik menghantar anak ke sekolah dan pelbagai urusan harian lain,” ujarnya. – UTUSAN










