Wujud polisi baharu tangani isu global - Mohd. Shafie

Wujud polisi baharu tangani isu global – Mohd. Shafie

MOHD. Shafie Apdal (kiri) menerima kunjungan hormat daripada Michalis Rokas di Kota Kinabalu, Sabah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Masyarakat global perlu bekerjasama bagi mewujudkan satu polisi baharu yang memberi manfaat kepada semua negara susulan isu geopolitik yang berlaku di dunia pada masa ini.

Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peperangan yang berlaku di beberapa negara  hanya menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat di negara-negara tersebut.

Maka, katanya, dunia perlu bersatu untuk tampil dengan satu polisi yang memberi situasi menang-menang kepada semua pihak.

“Jika dilihat peperangan yang berlaku antara Rusia dan Ukraine, ia memberi petanda jelas bahawa polisi antarabangsa perlu diubah agar tidak bersifat berat sebelah. Peperangan tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah, ia hanya mengakibatkan kematian dan kesengsaraan. Perkara itu boleh dielakkan sekiranya semua pihak bekerjasama bagi mencapai situasi menang-menang.

“Situasi di Palestin turut memperlihat layanan yang bersifat berat sebelah oleh negara barat sehingga mengakibatkan konflik dan keganasan berpanjangan dan menyukarkan usaha perdamaian antara Israel dan Palestin.

“Rakyat menderita dan meninggal dunia akibat peperangan yang berpanjangan manakala anak-anak mereka pula tidak mempunyai masa depan,” katanya semasa menerima kunjungan hormat daripada Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Michalis Rokas semalam.

Mohd. Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna  berkata, polisi global terhadap situasi di Palestin berbeza-beza hingga menyukarkan kesepakatan dicapai untuk memberi manfaat kepada Palestin mahupun Asia Barat.

Mengulas lanjut, katanya, tidak hairan ada sesetengah negara tidak mengutuk tindakan Rusia kerana melakukan serangan terhadap Ukrain kerana polisi yang ada bersifat tidak adil dan hanya memberi manfaat kepada satu pihak.

Mohd. Shafie turut menekankan tentang kepentingan memulihara alam sekitar dan hidupan liar terutama di Sabah. Eksploitasi hutan dan pembalakan haram yang tidak terkawal menyebabkan hutan di Sabah semakin terjejas.

Justeru, beliau menyambut baik bantuan daripada Kesatuan Eropah untuk memastikan hutan dara di Sabah akan terus kekal sebagai hutan yang boleh menjadi tempat perlindungan kepada pelbagai habitat dan hidupan yang terancam.

“Gajah pygmy yang terdapat di Sabah antara spesis yang berhadapan endemik di Borneo. Sekiranya kita tidak mengambil langkah serius memulihara hidupan ini, ia akan pupus seperti yang berlaku terhadap badak sumbu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya