JOHOR BAHRU: Seorang wanita rugi hampir RM500,000 setelah terjerat cinta lelaki warga asing yang hanya dikenali di media sosial.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, wanita berusia 40-an yang ‘mabuk cinta’ itu melakukan 20 transaksi pemindahan wang kepada lelaki berkenaan sejak tahun lalu.
Menurut beliau, mangsa pekerja swasta itu menyedari dirinya menjadi mangsa ‘Love Scam’ setelah membuat transaksi terakhir semalam sebelum membuat laporan polis.
“Wanita itu tidak pernah berjumpa walaupun sekali tapi rela memberi wang sebanyak itu.
“Perkara ini amat dikesali kerana masih berlaku walaupun sudah diingatkan berkali-kali. Suspek menyasarkan mangsa yang belum berkahwin dan kesunyian,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, kegiatan scammer ini boleh dikesan apabila mereka meminta untuk melakukan pemindahan transaksi melibatkan pelbagai nombor akaun bank.
“Sekiranya ini berlaku, sila berhenti dan jangan melakukan pemindahan wang. Itu adalah taktik scammer dengan menggunakan pelbagai jenis akaun bank.
“Bagi kes wanita itu, dia membuat 20 transaksi melibatkan 15 nombor akaun yang berbeza,” katanya.
Hutang dadah
Dalam permbangan lain, seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan berhubung hutang dadah terjatuh dari aras dua sebuah apartment di Jalan Masai Jaya 2, Pasir Gudang, semalam.
Kamarul Zaman berkata, dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam polis mendapati terdapat kesan pergelutan sebelum mangsa ditemui mati.
“Bahagian belakang kepala mangsa ada kesan kecederaan dan pendarahan.
“Kita percaya terdapat unsur jenayah yang menyebabkan mangsa jatuh di tempat kejadian,” katanya.
Susulan itu katanya, polis menangkap tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
“Semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 33 tahun ditahan di sekitar Desa Jaya, di sini dan siasatan awal mendapati punca kejadian berlaku adalah disebabkan masalah hutang dadah jenis syabu membabitkan mangsa berusia 23 tahun itu,” kata beliau.– UTUSAN










