TANJUNG MALIM: Seramai 5,714 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pulang ke kampus di sini secara berperingkat bermula semalam sehingga esok.
Naib Canselor UPSI, Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, UPSI tetap akan mengambil langkah keselamatan daripada pelbagai aspek bagi memastikan pelajar dan warga UPSI dalam keadaan selamat daripada sebarang jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, penerimaan pelajar disambut dan dipantau oleh pihak pengurusan universiti yang melibatkan Pusat Kesihatan UPSI, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Pengetua, Majlis Mahasiswa Kolej (MMK), Sekretariat Sukarelawan Siswa (SSS) serta diselia urus Bahagian Keselamatan, Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan (ROSH) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni (BHEP).
“Pelajar yang terlibat dengan proses Pergerakan Pulang Pelajar Fasa Dua adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda yang ditentukan oleh fakulti masing-masing.
“Kriteria pelajar yang dibenarkan pulang ke kampus dipilih berdasarkan keperluan program pengajian malah pelajar diwajibkan menjalani ujian nasal sewaktu proses pendaftaran bagi mengelakkan berlakunya jangkitan Covid-19.
“Walaupun Prosedur Operasi Standard (SOP) dikurangkan, namun pihak pengurusan universiti masih menitikberatkan proses pergerakan pulang pelajar yang teratur bagi melindungi komuniti sosial agar berada dalam keadaan selamat di sekitar UPSI dan Tanjung Malim, “ katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, pihaknya akan memastikan Pergerakan Pulang Pelajar Fasa 2 berjalan lancar seperti Pergerakan Pulang Pelajar sebelum ini.
Menurutnya, pihak universiti mengalu-alukan kepulangan penuntut walaupun tidak semua dapat pulang ke kampus.
“Diharapkan kepulangan mereka akan memeriahkan kembali suasana kampus yang sekian lama merindui keriuhan Anak Kandung Suluh Budiman,” katanya.
Menurut Norkhalid, proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hibrid dengan pematuhan SOP seperti yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Walau bagaimanapun, katanya, pertemuan sesama pelajar tidak akan seperti dahulu lagi kerana dibatasi oleh SOP bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.
“Kami juga akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan persekitaran kolej dalam keadaan selamat dan kondusif agar pelajar berasa lebih selamat ketika berada di kampus atau di luar kampus di bawah pengawasan Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK),” katanya. – UTUSAN










