UPM gesa penyelesaian komprehensif isu penggondolan hutan - Utusan Malaysia

UPM gesa penyelesaian komprehensif isu penggondolan hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UPM Consultancy Sdn. Bhd. menggesa kajian menyeluruh berkaitan usaha penanaman semula hutan perlu dilakukan segera bagi menyelesaikan isu penggondolan dan ladang hutan secara komprehensif demi kelestarian hutan-hutan di negara ini. 

Pengurus Besarnya, Profesor Dr. Azlizam Aziz berkata, usaha penanaman semula hutan itu memerlukan penglibatan pelbagai pihak terutama Jabatan Perhutanan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, industri berkaitan dan kumpulan akademik yang mempunyai matlamat jelas untuk melestarikan alam dan bukan hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Katanya, dalam pengurusan hutan negara, keperluan penanaman semula hutan selepas pembalakan dinyatakan dengan jelas dan wajib dilakukan, namun ia dipandang mudah oleh sesetengah pihak.

Ujarnya, usaha-usaha yang dilaksanakan di beberapa negeri untuk mengisi tanah-tanah hutan yang digondolkan termasuk dalam kawasan hutan simpan kekal (HSK) disambut baik oleh pelbagai pihak, namun, satu penyelesaian yang komprehensif masih perlu diperkembangkan. 

“Selaku anak syarikat milik penuh Universiti Putra Malaysia yang merupakan universiti yang diiktiraf antara yang terbaik dalam bidang perhutanan, UPM Holdings Sdn. Bhd. sentiasa mengambil berat tentang isu ini dan bersedia untuk bersama mengukuhkan strategi pengurusan perhutanan dengan pihak berkuasa terutama Jabatan Perhutanan di peringkat negeri dan juga dengan pihak industri. 

“Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UPM Holdings, Azrul Reza Aziz melalui anak syarikatnya, UPM Consultancy & Services (UPMCS) sedang merancang satu rangka kerja bagi membantu kerajaan negeri menyelesaikan isu tanah hutan yang dibiarkan gondol tanpa penanaman semula melalui kerjasama dengan industri dan Jabatan Perhutanan serta meletakkan matlamat syarikat untuk menanam semula sekurangnya satu juta pokok dalam masa lima tahun demi memelihara kelestarian alam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Menurut Dr. Azlizam, UPMCS turut melihat kepakaran yang ada di UPM sebagai peneraju dalam penyelidikan penanaman semula hutan khusus dari segi spesis yang sesuai, kaedah penanaman dan pembiakan anak benih. 

Katanya, ini kerana penanaman semula hutan memerlukan pemilihan spesis pokok yang tepat, terutama bagi spesis dengan pertumbuhan yang cepat dan tidak memerlukan penjagaan berkos tinggi. 

“Walaupun hutan yang ditanam semula ini tidaklah tinggi dari segi nilai biodiversiti berbanding hutan semula jadi, tetapi pokok-pokok yang ditanam semula itu tidak kurang fungsinya sebagai takungan karbon dan juga membantu kadar penyerapan air ke bawah tanah untuk mengurangkan risiko banjir, terutama di kawasan yang terbiar selepas penebangan,” katanya. 

Tambah beliau, UPMCS selaku anak syarikat milik penuh UPM Holdings juga memberikan perkhidmatan konsultansi, penyelidikan dan kajian yang meliputi semua bidang kepakaran yang dimiliki UPM. 

“Antara kajian yang telah dilakukan di bawah bidang ‘Pertanian, Perhutanan dan Alam Sekitar’, adalah ‘Rancangan Pengurusan Hutan Negeri’, ’Penilaian Impak Sosio-Ekonomi Projek Nanas’, ‘Kajian Impak Pengorekan Pasir Terhadap Kualiti Air’ dan beratus projek lain di bawah bidang ini. 

“Perkhidmatan oleh UPMCS turut meliputi bidang Pengurusan Perniagaan dan Sains Sosial, bidang Sains Perubatan dan Bioteknologi serta bidang Sains Kejuruteraan dan Teknologi,” jelasnya.  –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya