UMNO tidak pernah tolak Onn Hafiz sebagai Menteri Besar

UMNO tidak pernah tolak Onn Hafiz sebagai Menteri Besar

MOHAMED Khaled Nordin (kanan) mengiringi Onn Hafiz Ghazi yang bersalaman dengan orang ramai ketika hadir ke Majlis Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Puncak Kasih, Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, tidak pernah berlaku penolakan parti itu berhubung pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor yang baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, isu berkenaan tidak pernah timbul kerana parti tersebut khususnya di Johor memberi sokongan penuh kepada Onn Hafiz.

“Tidak pernah ada penolakan, malah UMNO Pasir Gudang beri sokongan penuh kerana apa yang penting adalah kerajaan negeri sedia ada melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan dan itu memerlukan sokongan akar umbi.

“Sokongan ini supaya beliau berjaya pimpin kita dan tingkat kedudukan dan kecemerlangan Johor. Kita di Pasir Gudang beri sokongan dan komited kepada Menteri Besar Johor. 

“Kita jangan hanya berharap kerajaan negeri dapat beri pembelaan kepada semua. Jadi rakyat juga perlu beri sokongan kepada kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan soal kesejahteraan sebagai teras rakyat,” katanya pada Majlis Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Gudang yang diadakan di Dewan Puncak Kasih, Bukit Layang-Layang di sini, semalam.

Pengerusi BN Bahagian Pasir Gudang itu berkata demikian selepas disoal pemberita sama ada Onn Hafiz menerima sokongan penuh daripada UMNO ketika ini selepas menggantikan tempat bekas Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad.

Sementara itu, mengulas berhubung sama ada BN dan UMNO mampu mengekalkan momentum kemenangan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15, Mohamed Khaled yakin gabungan tersebut dapat menarik kembali sokongan rakyat.

“Apa yang penting adalah sebuah kerajaan yang dapat berkhidmat dan menyelesaikan semua permasalahan dihadapi rakyat. Soal bila PRU itu hak Perdana Menteri tetapi sebagai pemimpin parti kita tentunya ada perkiraan dan pertimbangan yang dirasakan sesuai atau tidak untuk mengadakan PRU. 

“Sekarang momentum memang ada tapi kadangkala ian tidak hanya bergantung kepada itu sahaja. Kita yakin untuk kekalkan momentum, namun perkara itu bergantung pada prestasi kerajaan negeri dan Pusat, kalau ini dapat dijaga dengan baik mungkin momentum itu berpanjangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding pada PRU-15, Mohamed Khaled mengambil keputusan untuk terus mengunci mulut dan menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya