PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan ada lagi ahli Parlimen daripada partinya yang akan bertindak menyertai parti lain.
Ini selepas Datuk Zuraida Kamaruddin membuat keputusan keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Beliau menyangkal laporan mengenai Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar, sedangkan ahli Parlimen itu bukan ahli Bersatu.
“Yang saya maksudkan adalah saya belum dengar ahli Parlimen daripada mana-mana parti yang akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Saya nak tunggu lihat kalau betul-betul berlaku dulu sebelum jawab soalan yang ditanya. Saya tak suka komen atas spekulasi.
“Saya juga telah semak dan nama Xavier tiada dalam daftar keahlian Bersatu,” katanya dalam kenyataan.
Sebab itu, katanya, beliau memberi komen berbentuk umum tanpa merujuk khusus kepada mana-mana parti.
“Saya tak ada dengar pula bahawa ada Ahli Parlimen Bersatu keluar.
“Tulisan yang selain dari petikan sebenar seperti dalam video adalah salah dan petikan kenyataan seharusnya tepat seperti yang sebenarnya disebut,” katanya. – UTUSAN