KUALA NERUS: Terengganu memerlukan kira-kira RM1.5 bilion bagi menaik taraf kemudahan bekalan air yang uzur dan sering bermasalah di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, pelaksanaan projek berkenaan bakal menyelesaikan masalah gangguan bekalan air dalam tempoh antara 10 hingga 15 tahun akan datang.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM200 juta melibatkan daerah Hulu Terengganu, Pulau Redang pula RM120 juta manakala bakinya di Setiu dan Besut.
“Kita juga ada masalah kualiti air di Sungai Dungun dan Paka yang tinggi kandungan logam di samping isu kemasukan air masin yang memerlukan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk dipulihkan.
“Malah, paip-paip lama di Terengganu perlu ditukar dan kos penggantiannya dianggarkan bernilai RM800 juta,” katanya kepada pemberita.
Isu gangguan bekalan air di Terengganu kecoh diperkata pada Aidilfitri lalu kerana beberapa daerah berdepan catuan bagi menampung keperluan yang meningkat sepanjang musim perayaan.
Mamad berkata, ketika ini kerajaan negeri masih berhutang RM2 bilion bagi pelaksanaan dua projek menaik taraf kemudahan bekalan air termasuk pembinaan loji baharu dengan salah satunya sudah disiapkan.
Katanya, kos pengurusan air di Terengganu adalah antara RM100 hingga RM130 juta setahun.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri belum memutuskan untuk menyertai Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sebagaimana negeri-negeri lain.
“PAAB sentiasa menunggu kemasukan Terengganu tetapi ada syarat-syarat yang ditetapkan mereka dan sudah tentu terdapat pro serta kontranya. Bagaimanapun kita masih mengkaji perkara itu,” katanya. – UTUSAN