PETALING JAYA: Polis sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian samun di Damansara Perdana, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, mangsa yang juga lelaki berusia 30-an cedera ketika cuba mengejar suspek yang bertindak memecahkan cermin keretanya sebelum melarikan barangan berharga miliknya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian turut dirakam dan dimuat naik oleh seorang pengguna laman sosial TikTok yang kebetulan berada di situ sebelum tular dalam laman sosial.
Ekoran kejadian itu, mangsa kemudian tampil di Balai Polis Damansara membuat laporan kejadian itu pada pukul 4.30 petang.
Kata beliau, mangsa memaklumkan dia melihat seseorang sedang menendang cermin kereta sebelah penumpang hadapan keretanya sehingga pecah sebelum melarikan beg kerjanya yang mengandungi komputer riba serta barangan peribadi.
“Mangsa kemudian menjerit dan menyebabkan suspek terus lari masuk ke dalam sebuah kereta dan cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun, mangsa terus mengejar kereta suspek sebelum berlaku pergelutan antara mereka sehingga beg mangsa terjatuh dari kereta suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Ku Mashariman, mangsa mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu selain kerugian dianggarkan RM500.
“Usaha mengesan suspek kini sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatang kecederaan.
“Kita minta saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662176 untuk membantu siasatan,” jelasnya. – UTUSAN