TAMPIN: Sepasang suami isteri merayu kepada orang ramai membantu mencari anak lelaki bongsu mereka yang hilang sejak 3 Mei lalu.
Wong Chwee Foon, 56, berkata, anaknya, Yap Kelvin, 25, mula tidak pulang ke rumah selepas diberikan wang RM50 bagi membeli makanan kira-kira pukul 7 petang.
Dia dan suaminya, Yap Ban Kim, 56, bimbang anaknya itu akan mengalami masalah kesihatan selepas pernah terlibat kemalangan pada tahun 2018 sehingga berlaku hentakan kuat di kepala dan terdapat darah beku di otak.
“Pada mulanya, dia baik-baik sahaja dan boleh bekerja seperti biasa di sebuah restoran di Kuala Lumpur selama lebih setahun selepas kemalangan tersebut. Namun, masalah mulai timbul ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 yang menyebabkan dia terpaksa pulang dan duduk di rumah tanpa bekerja.
“Sejak dari itu, kami memang sepenuhnya menjaga anak kami itu. Dia keluar membeli makanan selepas diberikan duit tanpa membawa kedua-dua telefon bimbitnya dan menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna biru gelap dengan nombor pendaftaran MCG 7479,” katanya ketika ditemui di Taman Indah di sini, hari ini sempena kunjungan Pengerusi MCA Tampin, Koh Kim Swee di kediaman mereka
Ban Kim pula dalam pada itu memberitahu, anaknya itu sebelum ini pernah tidak pulang rumah selama tiga hari namun ditemui semula dalam keadaan selamat.
“Sebagai bapa saya memang bimbang, walau macam mana keadaan anak saya, saya harap dia ditemui dengan selamat. Saya bimbang fikirannya melayang serta tidak mengingati jalan untuk pulang ke rumah.
“Sekiranya orang ramai ternampak anak saya motosikal yang digunakan, mereka boleh menghubungi saya di talian 013-6756866 atau balai polis terdekat,” katanya yang turut telah membuat laporan di Balai Polis Tampin di sini kelmarin. – UTUSAN