PUTRAJAYA: Semua stesen minyak di seluruh negara dibenarkan menambah had kuantiti simpanan terutamanya bagi petrol RON95 bagi memastikan bekalan petrol mencukupi musim perayaan ini.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan Garis Panduan Pelesenan Barang-Barang Kawalan Berjadual (CSA), kadar had kuantiti ini ditentukan menerusi surat sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menyatakan had kuantiti simpanan yang sesuai bagi produk petroleum, diesel dan LPG.
Justeru, kata beliau, setiap stesen minyak mempunyai kadar had kuantiti simpanan yang berbeza, tertakluk kepada luas premis dan sistem simpanan tangki bawah tanah (UGT) masing-masing.
“Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menjangkakan berlaku peningkatan jumlah kenderaan luar biasa di jalan raya sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini ekoran proses peralihan negara ke fasa endemik dan pembukaan sempadan negara membolehkan Keluarga Malaysia pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan memastikan bekalan bahan api kenderaan sentiasa mencukupi di stesen minyak seluruh negara, KPDNHEP mengambil tindakan awal dengan mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) bagi memastikan semua pengusaha stesen minyak berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia sebagai mengulas aduan dan rungutan orang ramai berhubung isu bekalan petrol RON95 yang terjejas di beberapa kawasan di seluruh negara seperti dilaporkan baru-baru ini.
Menurut Alexander, kelewatan kapal tangki yang membawa minyak untuk sampai di terminal di Bagan Luar, Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang juga menyumbang kepada berlakunya isu ini selain kapasiti tangki simpanan di stesen-stesen minyak tertentu tidak mampu untuk menampung permintaan pengguna.
Bagi menangani segera isu ini, kata beliau, pihak kementerian mengambil dua langkah penyelesaian jangka pendek iaitu mendapatkan kerjasama daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuk mempercepatkan proses pelepasan kapal-kapal minyak.
Selain itu, katanya, pemantauan berterusan pihak KPDNHEP supaya tidak berlaku penyelewengan ke atas bekalan bahan api kenderaan terutamanya petrol RON 95.
“Pihak Kementerian ingin menyarankan orang ramai supaya buat sementara waktu ini untuk beralih kepada jenama minyak syarikat lain yang berhampiran berbanding jenama minyak syarikat tertentu yang menjadi kebiasaan digunakan kerana bukan semua stesen minyak menghadapi masalah bekalan terputus ini,” katanya.
Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang aduan berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP melalui saluran aduan berikut:
i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel [email protected]
v. Ez ADU KPDNHEP
– UTUSAN