KOTA KINABALU: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah kekal dengan pendirian untuk bertanding empat kerusi Parlimen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketuanya, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun berkata, Srikandi amat serius untuk bertanding di empat daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah kerana calon-calon yang berpotensi telah pun dikenal pasti.
“Kita mesti bersuara untuk wanita sebab kita mempunyai calon Srikandi yang terdiri daripada anak tempatan dan faham tentang keadaan dan rakyat di kawasan berkenaan.
“Tidak salah sekiranya kita mengemukakan nama calon di empat kawasan yang kita telah kenal pasti termasuk Beaufort.
“Namun, sekiranya kita tidak diberi kawasan yang kita mahukan maka, kita berharap kami akan diberi kawasan lain yang boleh menang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Srikandi Bersatu semalam.
Ahli Parlimen Beaufort itu berkata, calon-calon yang dikenal pasti merupakan mereka yang berpendidikan, berpotensi dan telah bekerja di kawasan secara konsisten.
Menurutnya, calon-calon itu mempunyai kelayakan yang sesuai untuk dikemukakan ke peringkat nasional atau Parlimen.
Azizah berkata, sekiranya agihan empat kerusi kepada Srikandi itu dapat dilakukan, ia adalah satu kejayaan kerana selama ini apabila bercakap tentang penglibatan 30 peratus wanita, ia belum terlaksana.
Mengulas lanjut katanya, calon-calon Srikandi akan memberi fokus kepada usaha memperkasa wanita khususnya dari sudut ekonomi bagi membantu wanita di kawasan luar bandar keluar daripada kepompong kemiskinan.
Mengenai kerusi Parlimen Beaufrot, Azizah berkata, beliau selaku penyandang kerusi tersebut akan memastikan penggantinya juga adalah Srikandi, sekiranya beliau tidak dicalonkan oleh pucuk pimpinan.
“Dalam politik ada kalanya kita kena berjuang dan ada masanya kita memberi laluan kepada orang lain. Apa-apa pun kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan,” katanya.- UTUSAN










