Sesak: Kembalikan bas mini - Utusan Malaysia

Sesak: Kembalikan bas mini

Bas mini yang popular pada era 1990-an disaran dikembalikan untuk menghubungkan penumpang dengan stesen pengangkutan awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengangkutan awam seperti bas mini yang popular sekitar 1990-an perlu dikembalikan bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya apabila masyarakat tertarik untuk beralih menggunakan pengangkutan tersebut.

Sistem pengangkutan awam semasa kini tidak efisien hingga menyebabkan ramai yang memilih menggunakan pengangkutan persendirian kerana lebih mudah untuk melakukan perjalanan keluar masuk dari luar bandar ke ibu kota.

Pensyarah Pusat Pemanduan Bijak (SDRC), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Munzilah Md Rohani berkata, memberi nafas baharu kepada sistem bas mini adalah langkah terbaik dalam menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

Menurut beliau, pengangkutan yang efisien akan membuang stigma masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam dan mengalakkan mereka untuk melakukan perjalanan tanpa menggunakan pengangkutan persendirian

“Kita memperkenalkan semula atau memberi nafas baharu kepada sistem pengangkutan bas mini adalah salah satu langkah yang sangat bagus kerana ia mudah untuk masuk kepada kawasan pinggir bandar jadi ia memudahkan pengguna lalu mampu menaikkan permintaan terhadap pengangkutan awam.

“Kadangkala jika kita lihat di beberapa kawasan, perhentian bas agak jauh dari perumahan, ditambah pula dengan cuaca panas menyebabkan masyarakat tidak rela untuk berjalan. Jadi dengan adanya bas mini ia boleh mengambil penumpang di lorong-lorong perumahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau menambah, penggunaan bas mini sudah dipraktikkan di negara-negara besar seperti di Hong Kong, Amerika Syarikat dan Jepun dengan menjadi pelengkap kepada sistem bas standard untuk sampai ke kawasan pinggir bandar.

33 juta

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, jumlah kenderaan berdaftar sebanyak 33 juta iaitu hampir menyamai bilangan penduduk di negara ini menjadi punca utama kesesakan teruk di bandar dan jalan-jalan utama.

Pada masa sama, jumlah kenderaan berdaftar itu juga merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara.

Perkara ini didedahkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang menjelaskan, situasi bertambah buruk apabila peningkatan tersebut tidak seiring dengan pertambahan projek baharu jalan raya sehingga menyebabkan berlaku kesesakan.

Mohd Fahmy berkata, beberapa model dari negara-negara luar boleh dijadikan sebagai rujukan atau dipertimbangkan supaya masalah kesesakan lalu lintas boleh diselesaikan secara menyeluruh dan sistematik.

“Ada model, di mana kenderaan persendirian yang memasuki bandar pada waktu-waktu tertentu dikenakan caj tambahan di mana mereka perlu membayar. Di Sweden, mereka mengenakan bayaran khas itu pada hari bekerja bermula jam 6.30 pagi hingga 6.30 petang iaitu waktu puncak.

“Konsep lain pula, di Sepanyol mereka menggunakan teknologi Smart di mana ia mengawal keadaan trafik dan mengurus ruang tempat letak kereta kerana salah satu punca kesesakan adalah sebab ketiadaan tempat letak kenderaan jadi teknologi itu membolehkan kita lihat ruang tempat kereta yang kosong.

“Di England pula, mereka akan memberi cadangan kepada masyarakatnya mengenai jalan mana yang perlu digunakan untuk kenderaan bermotor. Seperti laluan di sebelah ini sesuai untuk pejalan kaki, bas ataupun basikal, maksudnya ia memberi penerangan kepada pengguna,” jelasnya.

Beliau mengulas mengenai kembalikan penggunaan bas mini, katanya pengangkutan tersebut sudah dipraktikkan di negara-negara besar seperti di Hong Kong, Amerika Syarikat dan Jepun di mana ia menjadi pelengkap kepada sistem bas standard untuk sampai ke kawasan pinggir bandar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN