JOHOR BAHRU: “Mujur tidak bersalin masa ambil skrol daripada Permaisuri Johor,” kata Dr. Nur Liyana Sulaiman, 36, yang menerima Doktor Falsafah (PhD) sempena Majlis Konvokesyen ke-65 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, dekat sini, semalam.
Ibu kepada dua orang itu berkata, dia kini hanya menunggu detik untuk bersalin memandangkan kandungannya telah berusia sembilan bulan.
“Alhamdulillah saya selamat menerima skrol tetapi perasaan takut itu tetap ada kerana manalah tahu tiba-tiba semasa nak ambil skrol terasa hendak bersalin pula atas pentas.
“Sepanjang tempoh menunggu giliran untuk naik atas pentas saya tidak putus berdoa agar tidak berlaku apa-apa pada bayi dalam kandungan, sebab kalau ikut masa saya akan bersalin hujung bulan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis konvokesyen itu.
Nur Liyana yang ditemani suaminya, Azri Amin Che Din berkata, dia mengambil masa agak lama untuk melengkapkan pengajian PhD dalam bidang kejuruteraan perisian berikutan masalah kesihatan selain mengalami dua kali keguguran.
“Tetapi itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengejar cita-cita menjadi pensyarah, walaupun belajar sembilan tahun tetapi berbaloi,” katanya.
Sementara itu, bagi pasangan suami isteri yang turut menerima PhD iaitu Dr. Muhammad Aliif Halim Ahmad 33, dan Dr. Jamilah Mahmood, 33, begitu teruja kerana menerimanya pada hari sama.
Mula berkenalan sebagai penuntut ketika di peringkat sarjana muda hingga PhD sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan membawa seribu kenangan kepada pasangan itu yang kini bertugas di UTM sebagai pensyarah.
“Tak sangka dapat menerima PhD bersama isteri pada hari ini, sepatutnya pada tahun lepas tetapi pada ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi impian untuk menggenggam PhD daripada Permaisuri Johor hanya tertunai pada konvokesyen ke-65 ini,” kata Muhammad Aliif. – UTUSAN










