SHAH ALAM: Cuti umum Hari Pekerja di seluruh Selangor dipinda ke hari esok.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata, pentadbiran negeri menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai perubahan hari kelepasan am bagi Hari Pekerja dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Kenyataan berkenaan selaras dengan peruntukan Seksyen 3 Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369).
“Selepas turut mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bersetuju bahawa cuti Hari Pekerja akan dibawa kepada hari Rabu (esok),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Haris, perubahan cuti hari kelepasan am itu turut dipanjangkan untuk diterima pakai kepada pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri.
Semalam, kerajaan mengumumkan esok masih hari cuti umum bagi kebanyakan negeri di negara ini.
Ismail Sabri Yaakob memaklumkan ia berikutan cuti umum Hari Pekerja pada Ahad (1 Mei) akan diganti pada Rabu (4 Mei).
Pada awalnya, cuti Hari Pekerja dijadual diganti pada Isnin manakala cuti Aidilfitri dijangka pada hari ini dan esok.
Namun, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan Aidilfitri disambut Isnin dan memberi kesan kepada perubahan cuti umum yang perlu diganti. – UTUSAN