SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bakal mengeluarkan makanan ruminan atau ternakan sendiri terutama ayam bagi mengawal isu bekalan dan harga pasaran di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, kerjasama penyelidikan itu dijalankan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak dua tahun lalu.
Katanya, kaedah makanan alternatif ayam itu dilihat menunjukkan keberkesanan dan impak positif di Kedah.
“Menerusi program ruminan bersama UKM itu, harga makanan ayam bagi satu kilogram (kg) dapat dikurangkan daripada RM1.70 kepada hanya 70 sen.
“Justeru, kita (kerajaan negeri) memuktamadkan untuk turut menggunakan kaedah sama di Selangor nanti,” katanya ketika ditemui pada majlis Jalinan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini hari ini.

Pada 25 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan negeri akan memulakan projek penanaman jagung khusus untuk makanan ayam selepas Aidilfitri bagi mengatasi isu kenaikan harga makanan ternakan itu.
Projek tanaman itu dijalankan atas tanah seluas 400 ekar di Negeri Sembilan manakala 300 ekar lagi di negeri ini.
Jelas Izham, penyelidikan itu turut melibatkan kaedah ruminan ternakan lain termasuk lembu dan daging.
“Kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kedah untuk keberkesanan kaedah berkenaan. Bagi saya, isu yang lebih kritikal ketika ini adalah harga dan bukannya bekalan ayam kerana ia boleh diimport dari luar negara, bekalan ayam di negeri ini masih stabil dan mencukupi.
“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana kita akan mencari pelbagai kaedah bagi memastikan ayam kekal dibekalkan di pasaran termasuk penggunaan jagung ayam yang diimport lebih enam bilion di Selangor setakat ini,” jelasnya. – UTUSAN










