PETALING JAYA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil menyelar tindakan sebuah akhbar tempatan yang menggunakan gambar beliau sebagai salah seorang Ahli Parlimen yang melompat parti.
Ini selepas wajah Ahli Parlimen Muar itu terpampang bersama-sama dengan ahli-ahli Parlimen yang dipercayai melompat parti.
“Sejak bila pula saya lompat? Saya dipecat dari parti (Bersatu) sebab tolak penubuhan ‘kerajaan pintu belakang’.
“Berapa kali saya nak tegaskan, saya tak keluar Bersatu tetapi saya dipecat. Saya dipecat daripada parti yang saya bantu tubuhkan,” katanya menerusi akaun media sosial miliknya.
Katanya, beliau tidak pernah berniat untuk keluar dari Bersatu, sebaliknya tetap mempertahankan prinsip politiknya.
“Saya masuk politik sebab nak lawan rasuah bukan nak jadi perasuah. Saya tak akan khianat mandat rakyat.
“Saya tetap berani berdiri teguh dan tegap dengan prinsip perjuangan saya. Benda salah, takkan saya nak ikut membuta tuli? Saya ada prinsip, ada amanah rakyat untuk dijaga.
“Maaf tapi saya bukan katak. Yang lompat parti itu, ada dalam kerajaan hari ini. Boleh tanya mereka,” katanya. – UTUSAN