Saya layak galas tugas sebagai duta - Tajuddin - Utusan Malaysia

Saya layak galas tugas sebagai duta – Tajuddin

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yakin layak menggalas tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia berdasarkan pengalaman dalam politik dan sektor korporat.

Menurut Tajuddin, kritikan pihak tertentu berkaitan pelantikannya itu disebabkan mereka tidak mengetahui latar belakang beliau yang merupakan ahli perniagaan dan ahli politik sejak berusia 25 tahun.

“Mereka kata saya tiada kualiti (sebagai duta) sedangkan mereka tidak tahu pun latar belakang saya. Saya masuk dunia perniagaan ketika berusia 25 tahun, begitu juga politik. Saya ada lebih 40 tahun pengalaman untuk dua bidang itu.

“Dalam politik, saya menjadi wakil rakyat ketika berusia 56 tahun iaitu pada tahun 2004 sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Umur yang saya kira cukup matang untuk seorang pemimpin sebelum tiga penggal lagi sebagai Ahli Parlimen pada tahun 2008,” katanya ketika ditemui pemberita pada Jamuan Raya TT Education Group di Kolej Antarabangsa Taj di sini hari ini.

Tajuddin yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu mengulas kritikan pihak tertentu berkaitan pemilihannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Ahli politik

Menurut Tajuddin, pelantikan ahli politik bagi mengisi jawatan bertaraf duta juga tidak patut dijadikan isu kerana ia bukan perkara baharu sebaliknya telah diamalkan sebelum ini.

Katanya, sebagai contoh, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pernah menjadi Duta Besar ke Indonesia begitu juga Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Datuk Dr Awang Adek Hussin yang dilantik sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat.

“Ada negara yang lantikan dutanya mahupun negara yang menerima cadangan calon bukan dalam kalangan pegawai tadbir diplomatik (PTD), ada antara mereka ahli politik atau tokoh korporat. Ini pernah berlaku tetapi kenapa sekarang pula dipertikaikan?

“Itu (lantikan duta) terpulang kepada Perdana Menteri dan perlu mendapat persetujuan Yang Dipertuan Agong,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Tajuddin turut mengulas kritikan pihak tertentu kononnya beliau tidak layak menjawat jawatan duta ekoran kelantangannya dan Tajuddin menyifatkan ia sebagai tindakan tidak profesional.

“Kalau hendak menyerang, seranglah atas dasar individu itu tidak ada kelulusan atau pengalaman, individu itu pencuri atau penyamun. Ini serangan peribadi kerana bersuara lantang, apa masalah saya lantang? Adakah ini profesional atau tidak?

“Keras pun salah, lemah pun salah. Kita keras dan lembut pada masa dan tempatnya, itu pegangan saya. Saya tak boleh lembut sepanjang masa, ada masa saya kena tegas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya