Satu jam, 2,000 puntung rokok dibuang di sekitar parkir hospital - Utusan Malaysia

Satu jam, 2,000 puntung rokok dibuang di sekitar parkir hospital

MOHIDEEN Abdul Kader (kiri) dan N. V. Subbarow menunjukkan puntung rokok yang dibuang perokok di merata-rata tempat awam di sekitar Pulau Pinang dalam sidang akhbar di Pejabat CAP, Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Hanya dalam tempoh sejam, kira-kira 2,000 puntung rokok yang dibuang merata-rata di kawasan parkir Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini berjaya dikutip baru-baru ini.

Tambah menyedihkan, tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa terhadap mana-mana individu yang didapati membuang puntung rokok merata-rata di kawasan awam.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya yang menjalankan kempen kesedaran itu mendapati, puntung rokok ditemukan di mana-mana kerana kurangnya penguatkuasaan serta kesedaran tentang bahayanya kepada kesihatan serta alam sekitar.

”Puntung rokok yang dibuang di dalam air boleh menyebabkan kerosakan alam sekitar dan sekiranya dibuang di kawasan darat, nikotin yang terdapat di dalamnya boleh mengakibatkan kerosakan pada paru-paru manusia sama seperti seseorang yang merokok.

”Oleh itu, kami menggesa pihak berkuasa yang berkaitan mendenda mereka yang membuang puntung rokok atau menghisap rokok di zon yang tidak ditetapkan melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengendalikan kamera litar tertutup,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat CAP, di sini hari ini.

Menurut Mohideen, dianggarkan 4.5 trilion puntung rokok dibuang setiap tahun di seluruh dunia dan di Malaysia, perokok sering terlepas daripada sebarang tindakan kerana membuang sampah termasuk puntung rokok tersebut.

Situasi itu jelas beliau, ‘membantu’ perokok meneruskan lagi tabiat membuang puntung rokok di merata-rata kawasan.

”Jumlah nikotin yang terdapat di dalam enam puntung rokok sudah cukup untuk menyebabkan seorang kanak-kanak dimasukkan ke hospital. Ini tidak termasuk bahan kimia lain seperti arsenik, formaldehid, hidrokarbon aromatik polisiklik dan logam berat,” katanya.

Tambah beliau, puntung rokok yang sering dibuang di merata-rata tempat akan memasuki sistem saliran ke dalam tasik atau laut.

”Kajian menunjukkan puntung rokok dalam sembilan liter air sudah cukup untuk membunuh kutu air, krustasea kecil yang terdapat dalam air tawar dan air masin. Hidupan liar juga boleh diracuni selepas tersilap memakan puntung rokok sebagai makanan dan walaupun perokok membuang puntung rokok mereka ke dalam tong sampah yang betul untuk dilupuskan, puntung rokok itu juga akan berakhir di tapak pelupusan,” katanya.

Dalam pada itu Mohideen mengingatkan merokok adalah tabiat yang membazir dan memudaratkan diri sendiri serta alam sekitar.

”Kami menggesa perokok untuk berhenti daripada ketagihan nikotin dengan mendaftarkan diri mereka di JomQuit (https://jomquit.com/), program berhenti merokok oleh Kementerian Kesihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya