RM6 juta amal jariah, bukan rasuah - Ahmad Zahid

RM6 juta amal jariah, bukan rasuah – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di sini menegaskan RM6 juta yang diterima melalui dua keping cek daripada Sarana Kencana Sdn. Bhd. bukan rasuah atau upah kerana melantik syarikat itu untuk membekalkan cip pasport.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyatakan wang tersebut merupakan derma politik yang diberikan kepadanya sewaktu menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Saya menegaskan bahawa sumbangan politik berjumlah RM1,000,000.00 dan RM5,000,000.00 daripada Datuk Abu Hanifah dan Chew Ben Ben tersebut bukan sama sekali rasuah, upah atau suapan bagi melantik Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) untuk melaksanakan Kontrak Polycarbonate.

“Datuk Abu Hanifah (SP 32) dan Chew Ben Ben (SP 34) telah mengesahkan bahawa sumbangan politik adalah merangkumi amal jariah yang akan disumbangkan kepada Yayasan Akalbudi,” kata Ahmad Zahid ketika membaca penyataan saksinya.

Bekas Menteri Dalam Negeri itu juga menyatakan pertuduhan menerima rasuah yang dikenakan terhadapnya merupakan satu fitnah buatnya dan syarikat terbabit.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam pernyataan saksinya menyatakan derma politik yang diterimanya merupakan sebahagian daripada amal jariah.

Beliau berkata demikian dengan memetik keterangan Abu Hanifah dan Ben Ben ketika yang diberikan sebelum ini.

“Datuk Abu Hanifah (SP 32) sendiri telah menyatakan di Mahkamah bahawa cek tersebut diberikan kepada saya sebagai political donation yang mana beliau percaya bahawa political donation juga sebahagian daripada amal jariah.

“Berdasarkan keterangan beliau di Mahkamah, Abu Hanifah menyatakan bahawa “Political fund also you know is to fund all mechanism of amal jariah (derma politik juga salah satu cara amal jariah)”, kata Ahmad Zahid.

Selain itu, Ahmad Zahid menyatakan beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan akhir dalam memuktamadkan sesuatu kontrak yang diberikan secara rundingan terus kerana ia berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Peranan saya sebagai Menteri Dalam Negeri pada ketika itu hanyalah untuk memberi bantuan (assistance) seperti memberi respons atau ulasan untuk maklumat pihak Kementerian Kewangan, Jabatan Imigresen dan Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri dalam memberi penganugerahan Projek Polikarbonat tersebut,”katanya.

Ketika ditanya oleh peguam belanya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal apa akan berlaku sekiranya beliau tiba-tiba menulis nota seperti meminta akan kelulusan diberikan kepada sesebuah syarikat, Ahmad Zahid mengatakan hanya menteri yang bodoh sahaja akan berbuat demikian.

Ahmad Zaidi: Datuk Seri, sekiranya Datuk Seri menulis ‘Sila beri kelulusan bagi permohonan ini’, adakah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk tidak mengikut arahan tersebut.

Ahmad Zahid: Hanya menteri yang bodoh sahaja yang akan menulis sedemikian. Kuasa ada pada Ketua Setiausaha (Kementerian) bukan pada Menteri.

Beliau juga didakwa atas lapan pertuduhan menerima suapan daripada tiga syarikat, iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ahmad Zahid juha juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada kegiatan haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya