Remaja tunggu kelahiran anak kedua dicekup merempit

Remaja tunggu kelahiran anak kedua dicekup merempit

REMAJA berusia 19 tahun yang ditahan kerana menunggang motosikal dengan aksi berbahaya bersama tiga lelaki suspek di Jalan Permas ke Tanjung Piai, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang sedang menunggu kelahiran anak kedua dicekup polis kerana menunggang motosikal dalam keadaan bahaya di Tanjung Piai, di sini, awal pagi tadi.

Suspek yang turut memiliki cahaya mata berusia lima bulan itu bersama tiga lagi rakannya dipercayai berlumba sesama sendiri dari arah Permas menghala ke Tanjung Piai pada pukul 1.38 pagi.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, keempat-empat mereka didapati menunggang motosikal dengan kelajuan tinggi sambil melakukan aksi ‘Superman’ yang membahayakan diri dan pengguna lain.

“Anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Pontian yang berada di lokasi kejadian bagi Op Selamat Aidilfitri berjaya mengecam lelaki tersebut yang bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin.

“Lelaki tersebut yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC kemudian ditahan pada pukul 1.55 pagi tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mohammad Shofee, suspek dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika sabit kesalahan boleh dituduh di bawah seksyen sama yang memperuntukan hukuman penjara selama lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM15,000,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Pontian telah menjalankan Op Cantas Khas, Op Kesan dan Op Aidilfitri yang bertujuan mencegah jenayah kekerasan dan harta benda.

Katanya, setakat hari ini seramai 306 orang, 74 buah premis dan 221 buah kenderaan telah diperiksa yang menyaksikan seorang lelaki telah ditangkap bersama rampasan motosikal curi.

“Selain itu seramai enam orang lelaki juga telah ditangkap atas lain-lain kesalahan. Operasi ini masih berjalan sepanjang tempoh perayaan ini dan BSJ Pontian sentiasa komited memelihara ketenteraman awam di daerah ini.

“Sebarang maklumat mengenai apa-apa pelakuan atau aktiviti jenayah boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah IPD Pontian di talian 07-6869999,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya