PUTRAJAYA: Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) mengesahkan rumah sembelihan Thomas Food Industries (TFI) di Australia melanggar protokol halal dalam proses penyembelihan seperti didedahkan Utusan Malaysia.
TFI turut membekalkan daging kambing ke Malaysia.
SICHMA selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan mengesahkan perkara itu selepas badan tersebut menjalankan audit mengejut ke atas TFI pada 23 Mei lalu.
Pengesahan itu dibuat menerusi satu emel SICHMA kepada penyelidik bebas Australia, Murray Hunter yang kemudian dipanjangkan kepada Utusan Malaysia.
Dalam emel tersebut, Naib Pengerusi SICHMA, Adem Cetinay berkata, pihaknya pada hari audit menemu bual dengan penyembelih di TFI, termasuk meminta penjelasan berhubung cara pengendalian dan arahan kerja di premis berkenaan.
“Amat malang apabila hasil penemuan audit itu menggambarkan semua isu (perlanggaran protokol halal) seperti didakwa akhbar Utusan Malaysia.
“Sekiranya perkara itu dilaporkan kepada SICHMA pada hari kejadian, sudah tentu SICHMA akan memastikan protokol halal diguna pakai sepenuhnya dan kambing-kambing yang diproses tanpa mengikut piawaian akan diturunkan gred kepada tidak halal,” cerita Adem kepada Murray di dalam emel semalam.
Penyembelihan
Sejak 14 April lalu, akhbar ini mendedahkan status halal rumah penyembelihan itu yang diragui apabila prosedur didakwa tidak mengikut syariat Islam.
Laporan itu dibuat berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.
Ini termasuk pengakuan terbuka sumber utama bekas penyembelih di rumah sembelihan itu yang mengakui segala dakwaan didedahkan mempunyai bukti bergambar dan rakaman video.
Susulan itu, pada 14 Mei lalu, Malaysia menggantung serta-merta kelulusan import daging dari TFI sehingga siasatan menyeluruh selesai.
Selepas pendedahan itu, tiga lagi rumah sembelihan di Queensland, Australia turut didakwa melanggar protokol halal sembelihan didedahkan seorang wakil organisasi halal antarabangsa di Filipina yang mahu dikenali sebagai Amin yang membuat pemeriksaan mengejut di ketiga-tiga rumah sembelihan tersebut.
Rumah sembelihan terbabit turut mendapat pensijilan halal SICHMA yang diiktiraf badan-badan pensijilan halal di negara Asia Tenggara lain.
Mengulas mengenai rumah sembelihan tersebut, Adem berkata, SICHMA hanya memperakukan dua rumah penyembelihan di Queensland, bukan tiga seperti didedahkan Amin itu sekali gus menyifatkan ia adalah satu tuduhan dan dakwaan palsu.
Malah katanya, pemeriksaan mengejut seseorang dari Filipina yang bukan pengesah halal rumah penyembelihan tersebut, dan dalam kes sedemikian, SICHMA akan dimaklumkan terlebih dahulu oleh rumah penyembelihan jika terdapat pihak luar membuat audit.
“Bagaimanapun, kami mengalu-alukan maklumat daripada Amin yang boleh diberikan kepada kami secara langsung untuk menyiasat perkara itu.
“Jika Amin boleh menghubungi Utusan Malaysia, sekiranya beliau begitu prihatin, mengapa beliau tidak melakukan perkara yang betul dan mulia dan menghubungi SICHMA secara terus,” katanya.
Latihan
Dalam pada itu, Adem berkata, SICHMA turut akan menyemak semula latihan kepada penyembelih muslim di semua rumah sembelih yang diiktiraf pihaknya selain melaksanakan latihan lanjutan oleh pakar hal ehwal Islam di bawah organisasi mereka.
Bagaimanapun, beliau berkata, SICHMA hanya bertindak sebagai badan membuat pengesahan halal dan tidak membenarkan mana-mana organisasi pengambilan pekerja kepada rumah sembelihan untuk bertindak bagi pihaknya.
Malah, katanya, SICHMA tidak menggaji sama ada secara langsung atau tidak langsung mana-mana penyembelih muslim dan pihaknya hanya menjalankan audit rumah penyembelihan secara berkala.
“Walaupun kami tidak terlibat dalam proses pekerjaan ini, SICHMA mempunyai Kad Pengenalan AUSMEAT yang dikeluarkan kepada penyembelih muslim yang mengesahkan bahawa mereka adalah muslim dan penyembelih yang cekap,” katanya.- UTUSAN










