projek prasarana

Projek MRT, LRT disiasat SPRM?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senarai be­berapa nama individu ke­na­maan dan syarikat berkepen-tingan su­dah berada dalam ra­dar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didakwa menerima rasuah bagi menjayakan projek-projek awam.

Ia selepas pihak berkuasa Pe­rancis menerima dakwaan serius membabitkan tiga syarikat kejuruteraan yang menjalankan projek Klang Valley Mass Rapid Transport (KVMRT) melakukan penipuan dan rasuah.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, satu sumber berkata, susulan itu, SPRM kini meneliti secara menyeluruh me­liputi tiga skop iaitu projek Transit Aliran Ringan (LRT) di sebuah lokasi, projek Transit Aliran Massa (MRT) dan Aliran Transit Ringan (LRT) 3.

Ketiga-tiga projek mega itu membabitkan nilai RM30 bili­on dalam tempoh sejak 2011 sehingga kini.

Kata sumber itu, projek berkenaan didakwa dilaksanakan oleh sebuah syarikat di Malaysia yang dikaitkan dengan sebuah konglomerat Perancis yang terkenal dengan kes penipuan kerana memalsukan ujian keselamatan dan kualiti yang dijalankannya.

Jelasnya, salah satu daripadanya dikatakan adalah syarikat senarai awam Perancis yang memulakan projek infrastruktur mega di beberapa negara termasuk lebuh raya, lapangan terbang dan perumahan.

Bagaimanapun, kata sumber, syarikat itu kemudian didakwa menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat berkepentingan awam di negara ini.

“Difahamkan pembayaran rasuah mungkin berlaku bagi tujuan mendapatkan projek-projek ini daripada pengurusan tertinggi Prasarana.

“Satu siasatan dilakukan pihak berkuasa Perancis, SPRM kemudian mula meneliti isu penyelewengan tersebut sejak Mac lalu mungkin berlaku dalam projek-projek awam di negara ini,” katanya di sini semalam.

Jelas sumber, syarikat itu menggunakan perkhidmatan firma yang berpangkalan di Hong Kong bagi menyelia projek pembinaannya di Malaysia.

Difahamkan, siasatan terhadap anak syarikat terlibat di Malaysia bukan kali pertama dijalankan terhadap firma Perancis yang mempunyai projek di lebih 10 negara membangun di Asia dan Afrika.

Ini kerana, satu daripada anak syarikatnya dikenakan sekatan oleh Bank Dunia berhubung amalan penipuan berkait projek pembangunan lapangan terbang di Madagascar pada awal tahun ini.

Bank Dunia yang membiayai sebahagian projek itu berkata, syarikat tersebut mengatur pertemuan yang tidak wajar dengan pegawai kerajaan semasa pemberian tender bagi konsesi selama 28 tahun untuk mengendalikan lapangan terbang itu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN