Polis tahan dua individu bantu siasatan kes samun pajak gadai

Polis tahan dua individu bantu siasatan kes samun pajak gadai

MUHAMAD Zaki Harun menyaksikan serah terima tugas antara Amran Dolah (kanan) dengan Tan Seng Lee di IPD Tumpat, Kelantan, hari ini. - FOTO/ROHANA MOHD.NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes samun di kedai pajak gadai emas dekat Jalan Besar di Pasir Mas, dekat sini, Khamis lalu.

Individu terbabit, masing-masing lelaki dan wanita berusia 30-an ditahan di Pasir Mas, Jumaat lalu dan direman tujuh hari sehingga 12 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya sedang mendapatkan bukti-bukti baharu serta perlu mengesahkan kenyataan daripada beberapa saksi kejadian.

“Kita dapati ada percanggahan dalam kenyataan beberapa saksi. Selain itu, polis sedang mendapatkan kenyataan daripada saksi lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Tumpat antara Pemangku Asisten Komisioner Amran Dolah dengan Superintendan Tan Seng Lee di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, di sini hari ini.

Dalam kejadian 4.45 petang Khamis lalu, tiga lelaki bertopeng dilaporkan telah menyamun premis itu menggunakan senjata menyerupai pistol dan pisau.

Enam pekerja premis diikat serta dipaksa berada di bawah meja sebelum penyamun mengarahkan seorang daripada mangsa mengisi wang tunai dianggarkan berjumlah RM1 juta serta pelbagai barangan kemas ke dalam beg.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, sepanjang Op Selamat yang berakhir malam tadi, sebanyak 11,508 saman dikeluarkan, dengan kesalahan memandu melebihi had laju paling banyak direkodkan iaitu 7,775 saman.

Menurutnya, sebanyak 14 kes kemalangan maut direkodkan dengan 15 kematian.

“Kita lihat kebanyakan kesalahan dikesan membabitkan tiada lesen memandu dan kebanyakan kenderaan yang digunakan adalah kenderaan yang disewa.

“Sehubungan itu, kita minta pengusaha kereta sewa menyelidiki terlebih dahulu latar belakang pelanggan sebelum menyewakan kenderaan bagi mengelak timbul sebarang masalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya