Polis buru pemandu, pemilik kereta pandu berbahaya - Utusan Malaysia

Polis buru pemandu, pemilik kereta pandu berbahaya

NANDA MAAROF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis mengesan pemandu atau pemilik dua buah kenderaan yang dipandu  berbahaya di Lebuh Raya Utara Selatan selepas rakaman video kejadian berkenaan tular di media sosial kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pada 1 Mei lalu lebih kurang pukul 8 malam tular satu rakaman video berdurasi satu minit 40 saat yang memaparkan kejadian sebuah kereta disyaki jenis Audi berwarna kelabu bersama sebuah kereta jenis Toyota Wish berwarna hitam yang dipandu secara berbahaya.

“Siasatan mendapati kejadian tular tersebut berlaku pada hari yang sama anggaran waktu sekitar tengah hari.

“Kedua-dua kenderaan tersebut telah dipandu secara berbahaya dengan aksi mengubah haluan secara tiba-tiba (zig-zag) di Lebuh Raya Utara-Selatan antara Kilometer 269 hingga Kilometer 238 arah Selatan.

“Perbuatan ini boleh mendatang bahaya pada diri sendiri dan pengguna lebuh raya yang lain,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, selain itu rakaman video tersebut juga turut memaparkan tindakan pemandu kenderaan terlibat memotong di lorong kecemasan.

“Pemilik atau pemandu kenderaan terlibat diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” kata beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN