PM saran Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia diwujudkan - Utusan Malaysia

PM saran Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia diwujudkan

ISMAIL SABRI Yaakob menyampaikan ucaptama sempena Hawana 2022 di Hotel Hatten, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan penubuhan sebuah Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia bagi mendukung standard dan tahap profesionalisme kewartawanan negara.

Beliau berkata, pusat itu akan berfungsi mengumpul data rujukan melibatkan semua bentuk kajian yang dilakukan ke arah memantapkan disiplin kewartawanan.

“Pusat kajian ini juga boleh melibatkan interaksi dengan pelbagai bidang kemasyarakatan lain merentasi konteks budaya yang berbeza.

“Saya berharap ia dapat dimanfaatkan oleh golongan akademik dan penyelidik menjalankan kajian sejarah serta perjalanan bidang kewartawanan Malaysia, juga di Nusantara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; tokoh wartawan negara, Tan Sri Johan Jaafar serta kira-kira 700 pengamal media dari seluruh negara.

Tambah Perdana Menteri, pusat kajian itu dicadang diwujudkan di Melaka dengan mengambil kira sejarah tempat bermulanya perkembangan dunia kewartawanan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menyentuh berkenaan kepentingan penyatuan semua pengamal media di bawah satu bumbung melalui wadah Persatuan Wartawan Malaysia.

“Tiba masa golongan wartawan perlu bersatu di bawah naungan sebuah persatuan khusus yang mewakili media cetak, media elektronik dan media internet bagi memastikan etika kewartawanan dipelihara.

“Profesion kewartawanan diperkasa dan kebajikan wartawan dijamin. Bolehlah persatuan ini dinamakan Persatuan Wartawan Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN