KOTA KINABALU: Pimpinan PKR yang baharu diharap akan terus bersatu untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Penyandang Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Christina Liew berkata, pemilihan pimpinan PKR berakhir dengan persaingan yang mesra lawan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pimpinan yang baharu dipilih dan saya yakin pemimpin parti akan bersatu dan meneruskan persiapan untuk menghadap PRU-15,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pemilihan parti yang baharu berakhir, 19 daripada 25 cabang PKR di Sabah memilih Mohd. Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden PKR.
Hanya enam cabang memberi sokongan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk memegang jawatan nombor dua di dalam parti berkenaan.
Enam cabang yang menyokong Saifuddin adalah Kota Kinabalu, Keningau, Tenom, Pensiangan, Sandakan dan Tawau.
Dalam pemilihan itu, Christina turut mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu.
Beliau memperoleh 883 undi berbanding pencabarnya, Steveelon Sait yang memperoleh 116 undi.
Berdasarkan keputusan yang dipaparkan dalam laman web rasmi PKR, kesemua pasukan Christina dalam cabang tersebut turut memang dalam pemilihan parti.
Justeru, beliau, yang juga Ahli Parlimen Tawau memberi jaminan Cabang PKR Kota Kinabalu akan bekerjasama rapat dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah bagi menghadapi PRU-15.- UTUSAN