SHAH ALAM: Peminat seni fotografi dan jurugambar profesional serta amatur berpeluang merebut hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM28,000 berserta sijil penyertaan pada pertandingan fotografi anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Menurut Bahagian Korporat MBSA, pertandingan tersebut merupakan inisiatif MBSA untuk memberi ruang dan peluang kepada orang ramai menyerlahkan bakat mereka di samping pada masa yang sama menggalakkan masyarakat untuk menghargai serta mencintai bandar raya Shah Alam melalui lensa fotografi.
“Pertandingan fotografi ini bermula pada 15 Mac 2022 sehingga 15 September depan.
“Para peserta boleh mengambil foto di tempat-tempat menarik sekitar Shah Alam seperti lokasi pelancongan, bangunan, monumen, tasik, taman atau landskap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bahagian Korporat MBSA berkata, pertandingan itu terbahagi kepada empat kategori iaitu kategori Bangunan/Mercu Tanda, Alam Semulajadi, Gaya Hidup, dan Pemandangan Malam.
Katanya lagi, penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada warga Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.
“Tempat pertama pertandingan bagi setiap kategori akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, tempat kedua RM2,000, tempat ketiga RM1,000 dan hadiah saguhati berjumlah RM200 seorang untuk lima orang pemenang,” katanya. – UTUSAN










