Permintaan mendadak permohonan pasport punca sesak

Permintaan mendadak permohonan pasport punca sesak

KHAIRUL Dzaimee Daud ketika dalam sidang akhbar di Putrajaya. - FOTO/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Masalah kesesakan permohonan dan memperbaharui pasport ketika ini adalah berpunca daripada peningkatan mendadak permintaan PMA sejak pembukaan sempadan negara mulai 1 April lalu. 

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya mengesan peningkatan pengeluaran PMA sebanyak 40 peratus berbanding sebelum pembukaan sempadan negara. 

“Berdasarkan maklum balas diterima, kesesakan itu berpunca daripada isu kelewatan menerima notifikasi melalui e-mel selepas permohonan, masalah untuk memuat naik gambar dan masalah cap jari. Selain itu, pelanggan juga menghadapi masalah tidak mendapat nombor giliran dan terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama,” katanya dalam sidang akhbar hari ini. 

Khairul Dzaimee berkata, bermula 1 April sehingga 6 Mei lalu, sebanyak 165,449 PMA dikeluarkan jabatan ini di seluruh negara berbanding sebanyak 111,931 PMA pada bulan Mac lalu.

Antara negeri-negeri yang mencatatkan permohonan PMA tertinggi adalah Putrajaya, Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. 

Bagi mengatasi isu kesesakan berkenaan, kata beliau, JIM melanjutkan waktu operasi perkhidmatan kaunter pasport mulai 11 Mei ini dan lanjutan waktu operasi sehingga 10 malam itu membabitkan pejabat pengeluar pasport di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. 

Beliau berkata, bagi Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Kelantan dan Perlis pula, waktu operasi adalah sehingga 6 petang. 

“Kami juga menetapkan waktu operasi pejabat pengeluar pasport di semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Semenanjung Malaysia juga dilanjutkan sehingga 10 malam. Semua pejabat pasport di Semenanjung Malaysia beroperasi pada hari Sabtu bermula 8 pagi hingga 12.30 tengah hari bermula 14 Mei ini,” katanya. 

Katanya, bagi rakyat Malaysia yang akan menjalankan ibadah haji, mereka boleh terus hadir ke mana-mana pejabat pengeluar pasport dengan membawa surat tawaran daripada Tabung Haji dan kaunter khas disediakan bagi tujuan ini. 

Khairul berkata, semua urusan pembaharuan PMA di seluruh negara perlu dibuat melalui sistem online kecuali bagi permohonan PMA baharu, kategori warga emas, orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak 13 tahun ke bawah, jemaah haji, pelajar serta PMA yang rosak atau hilang. 

Menurutnya, pihaknya juga akan memansuhkan Sistem Temujanji Online (STO) bagi semua pejabat pengeluar pasport di seluruh negara mulai 11 Mei ini. 

“Pemohon yang menerima tarikh janji temu melalui STO mulai tarikh tersebut tidak diguna pakai,” katanya. 

Selain itu, Khairul berkata, seramai 1,388,434 rakyat Malaysia telah membuat perjalanan ke luar negara bagi urusan rasmi kerajaan, menunaikan umrah dan haji, perniagaan, menyambung pelajaran, perubatan dan lawatan sosial setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN