Perdana Menteri jamin Sabah, Sarawak tidak ketinggalan - Utusan Malaysia

Perdana Menteri jamin Sabah, Sarawak tidak ketinggalan

ISMAIL Sabri Yaakob diiringi oleh Hajiji Noor semasa melawat gerai pameran sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan Sabah dan Sarawak akan bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat seperti negeri-negeri lain.

Menurut beliau, bak kata pepatah orang Kadazan, ‘Osusa Toi Asanang Tomoi-mo Mi-i-so’ yang bermaksud ‘susah atau senang, suka dan duka kita tetap bersama dan bersatu dalam satu Keluarga Malaysia’.

“Inilah harapan besar saya,” katanya semasa merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Sabah di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Maximus Ongkili.

Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha menghapuskan jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah.

Jelasnya, melalui pengwujudan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol, ia dilihat mampu mengubah seluruh kawasan di Sabah dalam tempoh lima tahun ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga komited melaksanakan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) bagi mencapai sasaran sifar miskin tegar pada akhir 2025.

Di bawah program BMTKM ini, Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri akan menjadi penyelaras menggabungkan semua pihak yang terlibat seperti kementerian, kerajaan negeri, ahli akademik, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) untuk mencari kaedah terbaik bagi menghapuskan miskin tegar secara holistik berasaskan lokaliti.

Pada fasa pertama BMTKM, sebanyak 10 lokaliti di Sabah telah dikenal pasti bagi pelaksanaan program itu iaitu Tongod, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Nabawan, Tuaran, Sipitang, Beaufort dan Ranau.

Dalam bidang pendidikan pula, kerajaan akan terus komited memperbaiki dan membina semula sekolah daif di kawasan pendalaman Sabah.

“Saya difahamkan Kementerian Pendidikan telah mengamanahkan 113 sekolah daif di Sabah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JKR Sabah sebagai agensi pelaksana untuk menaik taraf sekolah-sekolah itu dengan kos RM1.02 bilion,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan juga komited bekerjasama dengan negara jiran untuk mengawal sempadan negara.

Untuk itu, Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan disemak semula bagi mengukuhkan hal ehwal pertahanan dan keselamatan di perairan Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya