KUALA TERENGGANU: Gara-gara menyertai Skim Pelaburan Hari Raya, seorang peniaga di daerah ini kerugian lebih RM4 juta dipercayai ditipu wanita dikenali sebagai Datin Ida.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden M. Zambri Mahmud berkata, mangsa yang berusia 31 tahun terpedaya dengan jerat pelaburan itu, seminggu sebelum Aidilfitri lalu.
Katanya, pengadu mendakwa dihubungi Datin Ida pada 22 April lalu bagi menyertai skim pelaburan sebanyak RM30,000 dan mendapat pulangan RM55,000 dalam masa tiga hari.
“Pengadu bagaimanapun melabur sebanyak RM100,000 dan dalam masa sama dia turut mengiklankan skim pelaburan itu menerusi kumpulan WhatsApp hingga berjaya menarik penyertaan seramai 296 individu.
“Kesemua individu berkenaan melabur hampir RM4 juta dan keseluruhan kutipan wang itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun yang diarahkan Datin Ida,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut M. Zambri, pengadu kemudian diberikan bonus sebanyak RM190,000 oleh Datin Ida kerana berjaya mencapai kutipan luar biasa dalam tempoh singkat, namun sehingga ke hari ini, pelaburan itu masih tidak mendapat pulangan.
“Percaya dirinya ditipu pengadu kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terperdaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak masuk akal sama ada melalui media sosial atau dari mana-mana pihak kerana ia adalah satu penipuan,” katanya. – UTUSAN










