Tentunya jerih dan perit yang tidak dapat digambarkan apabila mereka yang sudah bertahun-tahun bergelar penggiat seni tradisional secara tiba-tiba sejak dua tahun lalu terpaksa menggantung bakat seni mereka dan beralih mencari punca rezeki dalam bidang lain akibat Covid-19.
Pandemik itu telah mendepankan mereka dengan pelbagai cabaran termasuk dari segi pendanaan, masa, menyekat latihan berkumpulan, menghalang daripada membuat persembahan dan pelbagai lagi perkara lain yang kesudahannya mengekang pendapatan mereka.
Disebabkan itu, bakat mereka hanya dapat tonjolkan di akaun media sosial peribadi sahaja untuk tujuan mempromosi karya-karya seni mereka. Kini walaupun industri seni sudah dibenarkan beroperasi, kesenian tradisional Kelantan khususnya dikir barat tentunya tidak mampu bangkit sendiri dengan begitu mudah jika tiada sokongan daripada kerajaan.
Ini kerana hakikatnya pun kesenian tradisi dikir barat bukanlah gah macam industri seni arus perdana lain. Jika tidak dibantu dikhuatiri seni ini lama-kelamaan akan lenyap begitu saja. Dalam usaha untuk membangkit semula semangat penggiat seni dikir barat, Kerajaan Negeri Kelantan melalui Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongannya telah mengadakan Malam Himpunan Dikir Barat 2022.
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato Ahmad Yakob diadakan pada 13 Mei lalu di sebuah hotel di Kota Bharu dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) dan Persatuan Dikir Barat Kelantan (Pendikir).
Pengarah dan Pelakon tersohor, Sabri Yunus yang pernah mencipta fenomena seni dikir barat di awal tahun 1990-an dinobatkan sebagai Duta Anak Seni Kelantan. Ini adalah anugerah tertinggi diberikan kerajaan negeri.
Menteri Besar merakamkan tahniah dan penghargaan kepada semua yang terlibat yang berusaha mengekalkan kesinambungan seni budaya Kelantan sekali gus mengangkat nama negeri ini.
Majlis yang dihadiri oleh lebih 400 penggiat seni Kelantan itu memberi pengiktirafan kepada 24 penggiat seni dikir barat yang mengharumkan nama negeri ini.
Jen Endoro atau Mohd. Zain Ismail, Jali Bunga Tanjung atau Mohd. Razali Abd. Shukor dan Sulizi Che Awang yang lebih dikenali dengan Cikgu Sulizi telah diangkat sebagai Ikon Legenda Dikir Barat.
Ikon Tok Jogho diberi kepada empat orang iaitu Mohd. Rozi Che Wil yang tersohor dengan nama Rozi Kemang Berduri, Mejah Muda atau Mejah Ana, Tuan Ab Rahman Tuan Soh atau Man Tok Raja dan Mail Anak Kala atau Che Ismail Che Seman.
Sementara itu, Ikon Tukang Karut pula diberi kepada Tuan Kob Raja Saring atau nama sebenar Tuan Kob Tuan Ismail, Azhar Yaacob yang dikenali dengan Kohar Teknik dan Pak Nik Har Senandung Malam atau Nik Azhar Nik Yahya.
Bagi kategori Ikon Muda Dikir Barat pula pihak panel bersetuju diberikan kepada Amran Daud Bukit Abal atau Amran DBA, Mohd. Hanifiah Yusof yang dikenali dengan Raden Mas Uji dan Mohd. Faizul Ya atau Joe Ranjuna.
Ikon Media Baru atau Dikir Fusion diberi kepada Wan Nukman Wan Hamdan atau Man Khan, Mohd. Zainuri Mohd. Zin yang lebih dikenali dengan Poyi Gasi, Fendi Kenali atau Mohamad Afandi Mohamad, Mohd. Fadzil Mohd. Noor atau Fadil Turbo dan Mohd. Zain Hussin atau Jen KL.
Pendikir Veteran Hamid Budaya atau Che Hamid Che Awang, Tokwe Hasan Gula Batu atau Abdul Manaf Mohamad dan Eyo Hock Seng masing-masing dianugerahkan sebagi Ikon Jasamu Dikenang dan Ikon Dikir antara kaum manakala Ruhafizi Abas dan Fauzi Husin pula diberi anugerah Ikon Pemain Gendang.
Exco yang bertanggungjawab Datuk Md. Anizam Ab. Rahman berkata, penghargaan ini adalah penghormatan bagi mengangkat dikir barat ke tahap yang lebih tinggi lagi dihormati sesuai dengan sumbangan bakti mereka yang berterusan dalam perkembangan seni tanah air.
Zainal Abidin Muhamad ialah Naib Presiden Majlis Kebudayaan Kelantan.