RM20 untuk tunggang kuda di Taman Ekuestrian Putrajaya

RM20 untuk tunggang kuda di Taman Ekuestrian Putrajaya

PENGUNJUNG akan ditemani pembimbing terlatih ketika menunggang kuda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN bayaran hanya RM20, pengunjung berpeluang merasai pengalaman menunggang kuda secara santai di Taman Ekuestrian Putrajaya.

Pusat ini bukan sekadar dibuka kepada individu yang terlibat dalam sukan berkuda, malah dibangunkan sebagai satu daripada tarikan rekreasi yang mudah diakses di tengah-tengah bandar.

Justeru, saya turut mengambil peluang sebagai seorang pemula yang langsung tidak mempunyai pengalaman menunggang kuda untuk mencuba aktiviti ini di Taman Ekuestrian Putrajaya.

Bagi sesi menunggang secara santai, setiap peserta akan ditemani oleh pembimbing terlatih. Kehadiran mereka sedikit sebanyak memberikan rasa lega kerana pembimbing sentiasa peka dan bersedia membantu, sekali gus mengurangkan rasa takut atau bimbang terjatuh daripada kuda.

Sebagai permulaan, pembimbing memberikan penerangan ringkas tentang cara duduk yang betul serta teknik mengimbangi badan.

Saya juga dinasihatkan supaya kekal tenang agar kuda tidak berasa terkejut atau terancam.

Langkah demi langkah, kuda yang saya tunggangi mula bergerak perlahan. Dari situ, saya mula memahami rentak pergerakannya.

Pada awalnya, perasaan cemas membuatkan saya terfikir untuk turun sahaja, namun lama-kelamaan saya mula menikmati pengalaman tersebut, sama seperti penunggang lain yang begitu santai menikmati kehijauan dan suasana mendamaikan di sekitar taman ekuestrian ini.

MELAWAT KANDANG KUDA

Selain aktiviti menunggang, pengunjung turut berpeluang mengenali dunia kuda dengan lebih dekat melalui lawatan ke kawasan kandang. Lawatan ini memberi peluang kepada saya dan pengunjung lain untuk melihat sendiri bagaimana kuda dipelihara, dijaga serta dilatih setiap hari.

Para kakitangan turut memberikan penerangan terperinci mengenai penjagaan kuda, termasuk jenis makanan seperti dedak khas dan suplemen yang diperlukan bagi memastikan kesihatan haiwan ini sentiasa berada pada tahap terbaik.

Kami juga diberi peluang untuk memberi makan dan membelai kuda. Bagi saya, lawatan ke kandang bukan sahaja menambah pengetahuan, malah membuka mata tentang aspek kebajikan haiwan yang sangat dititikberatkan di Taman Ekuestrian Putrajaya.

Kuda yang sudah tua atau tidak lagi aktif tidak disembelih. Sebaliknya, pihak pengurusan memastikan haiwan-haiwan ini terus dijaga dengan baik malah ada yang diberi peranan lebih ringan, seperti sesi interaksi bersama kanak-kanak.

BUKAN HANYA NAIK KUDA

Taman Ekuestrian Putrajaya juga sesuai untuk pengunjung yang ingin bersantai atau bergambar. Kawasan ekuestrian yang dikelilingi kehijauan tumbuh-tumbuhan menyediakan latar belakang cantik dan menarik untuk fotografi.

Terdapat juga ruang kafe yang menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman dengan pengunjung boleh menikmati hidangan sambil menyaksikan kuda berlatih.

Secara keseluruhannya, suasana damai yang ditawarkan menjadikan pengalaman di Taman Ekuestrian Putrajaya bukan sahaja menyeronokkan, malah berbeza daripada aktiviti rekreasi yang biasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN