KANGAR: Pengerusi PKR negeri, Amran Kamarudin menang tipis jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Padang Besar dengan berkelebihan hanya empat undi mengatasi pencabarnya, Zainol Sabu.
Berdasarkan keputusan yang dikeluarkan oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menerusi laman web wwww.pemilihankeadilan2022.com, Amran memperoleh 109 undi manakala Zainol yang hampir mencipta kejutan mendapat 105 undi.
Bagaimanapun, menurut keputusan yang dipaparkan di web tersebut, Amran didapati mempunyai 11 undi ragu manakala Zainol enam.
Jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Padang Besar pula dimenangi oleh Roseli Salim yang memperoleh 113 undi manakala pencabarnya, Cheng Chee Yang mendapat 103 undi.
Di Kangar, Noor Amin Ahmad berjaya mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Cabang PKR Kangar dalam pertembungan tiga penjuru menentang Gan Ay Ling dan Amar Amran.
Ahli Parlimen Kangar itu memperoleh 631 undi mengatasi Ay Ling merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan yang mendapat 211 undi manakala Amar yang juga anak kepada Pengerusi PKR negeri menerima 167 undian.
Pemilihan PKR Cabang Kangar itu sedikit panas apabila Ay Ling sebelum ini membangkitkan beberapa isu seperti penawaran wang dan barang kepada pengundi, memanipulasi undi secara dalam talian serta jarak pondok panas yang berhampiran dengan pusat mengundi.
Malah Ay Ling turut menggesa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengambil serius serta mengenakan tindakan terhadap beberapa isu berbangkit di Cabang Kangar itu.
Sementara itu bagi jawatan Timbalan Ketua PKR Kangar dimenangi oleh ADUN Kuala Perlis, Nor Azam Karap yang selesa memperoleh 650 undi jauh mengatasi pencabarnya, Ismail Abidin yang hanya mendapat 179 undi manakala Nazman Omar pula sekadar 162 undi.
Bagi Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kangar, Amar Abd. Jalil menang tanpa bertanding.
Di Arau, kesemua ahli jawantankuasa cabang tersebut menang tanpa bertanding dengan jawatan Ketua Cabang disandang Manivanan Karuppiah manakala timbalannya pula ialah Ibrahim Din. – UTUSAN