JEMPOL: Seorang peneroka dari Felda Gugusan Raja Alias, di sini, berputih mata dan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM39,000 apabila terpedaya dengan individu menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pada 7 Mei lalu, semasa mangsa iaitu lelaki berusia 72 tahun berada di rumah, dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dari LHDN.
Katanya, panggilan dari ahli sindiket Macau Scam berkenaan disambungkan kepada individu lain kononnya pegawai polis di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Menurutnya, mangsa ditakut-takutkan dengan dakwaan namanya terlibat dengan pengedaran dadah dan akan ditangkap.
“Mangsa kemudian diminta mengeluarkan duit simpanan dan kemudian membuat pindahan wang melalui mesin mesin pengeluaran wang automatik (ATM). Mangsa juga diarahkan untuk membuang semua resit bagi urusan berkenaan.
“Mangsa yang takut telah mengikut arahan yang diberikan dan membuat beberapa kali pengeluaran wang di Bandar Seri Jempol dari 7 Mei hingga 9 Mei lalu sebelum memasukkan wang berkenaan ke akaun Maybank 151101536320 yang diberikan pada 10 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, mangsa yang berasa tertipu kemudian membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya. – UTUSAN










