KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling menuntut Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR mengambil serius serta mengenakan tindakan terhadap beberapa isu berbangkit dalam pemilihan parti itu di cabang Kangar baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ay Ling mendakwa, antara perkara berbangkit yang dikenal pasti adalah isu penawaran wang dan barang kepada pengundi, memanipulasi undi dalam talian serta jarak pondok panas yang berhampiran pusat mengundi.
Calon Ketua Cabang PKR Kangar itu berkata, isu tersebut secara tidak langsung mencemarkan pemilihan parti di kawasan berkenaan dan tidak adil kepadanya yang mematuhi segala peraturan.
Katanya, pemilihan perlu berlangsung secara bersih dan adil sekali gus bertepatan dengan konsep reformasi yang diperjuangkan.
Melanggar
“Peraturan ditetapkan JPP itu perlu dipatuhi dan sekiranya calon melanggar peraturan perlu dikenakan tindakan. Saya berharap JPP memandang serius beberapa isu yang dibangkitkan ini dan mengambil tindakan.
“Sebelum ini, saya terima banyak aduan daripada rakan-rakan ada individu yang menghubungi mereka dan mendakwa daripada pasukan saya seterusnya memanipulasikan undi online itu.
“Dalam soal ini, parti tidak ada masalah memandangkan peraturan dan panduan semua sudah dibuat dengan baik namun masalah yang berlaku berpunca daripada sikap segelintir calon bertanding itu,” katanya.
Baru-baru ini, seorang ahli PKR mendakwa ada individu menggunakan tabletnya konon bagi membantu mengundi secara dalam talian.
Ahli PKR kawasan Sena itu, Chua Beng Choon mendakwa, individu terbabit mendakwa dia adalah dari pasukan Ay Ling namun setelah dihubungi, ADUN Indera Kayangan itu menafikannya.
Ekoran itu, Beng Choon tampil membuat laporan di Balai Polis Kangar di sini kerana tidak puas hati apabila individu lain mengambil kesempatan mengundi bagi pihaknya.
Terdahulu, Ay Ling turut membangkitkan beberapa isu dalam pemilihan parti itu di cabang Kangar seperti jarak pondok panas yang berhampiran dengan pusat mengundi dan pertukaran ‘cai’
Perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Kangar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Ay Ling, Noor Amin Ahmad yang juga penyandang dan Amar Amran.
Tambah Ay Ling lagi, para pengundi perlu diberi peluang memilih calon pilihan dengan cara bersih dan adil. – UTUSAN











