KUALA LUMPUR: Bekas pelakon dan usahawan, Datuk Hans Isaac yakin beliau sebagai calon yang patut menang pemilihan PKR bagi jawatan Ketua Cabang Ampang bagi pemilihan PKR 2022.
Katanya, berdasarkan data diperoleh dan usaha dilaksanakan, beliau yakin sokongan akar umbi parti itu berpihak kepadanya.
“Saya rasa, saya patut menang. Saya dan pasukan berkhidmat di Ampang dua tahun lebih. Saya tahu sebanyak mana jumlah sokongan akar umbi terhadap saya.
“Kempen yang kami gerakkan juga tidak menghampakan. Malah kami yakin telah menang hati akar umbi kerana setia bersama mereka, bantu mereka ketika waktu-waktu sukar.
“Ya, saya rasa saya miliki sokongan yang mencukupi untuk menang. Namun, apa-apa pun kita serahkan kepada pengumuman rasmi nanti. Kita tunggu dan lihat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 51, berdepan enam pencabar lain termasuk penyanyi rap, Altimet dalam pemilihan PKR tersebut.
Dalam pada itu, Hans berkata, dia dan pasukannya menjangkakan kemenangan berpihak kepadanya berdasarkan jumlah undi yang diperolehnya.
“Saya tahu berapa ramai yang undi saya secara dalam talian. Kami juga tahu berapa ramai yang hadir ke dewan untuk undi saya.
“Kami ada datanya dan kami bersedia. Tinggal lagi hanya berharap agar semua berjalan dengan lancar,” katanya.
Han sebelum ini berkata,deperti rakyat Malaysia yang lain, penduduk Ampang juga teruk terkesan lebih-lebih lagi ketika pandemik.
“Kami, dengan dana peribadi, membantu mereka yang terkesan. Tiada penglibatan mana-mana hartawan mahupun syarikat korporat yang lain.
“Bukan jawatan yang saya kejar. Tetapi yang penting khidmat untuk rakyat. Saya bukan ahli politik. Hanya kelompok akar umbi yang mahu membantu masyarakat,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
“Kalau saya diberi mandat untuk menjadi ketua cabang PKR Ampang, kenapa tidak saya pelawa dia untuk bersama saya. Tiada istilah dia lawan saya atau saya lawan dia.
“Kami berjuang dalam parti yang sama. Bergerak ke arah hala tuju yang sama untuk rakyat dan penduduk Ampang. Walau apa pun kami tetap akan bekerjasama memperkasakan parti,” jelasnya. – UTUSAN










