SEREMBAN: Bekas Naib Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli memperoleh undi tertinggi bagi jawatan Timbalan Presiden PKR yang ditandinginya dalam Pemilihan PKR 2022 bagi peringkat Negeri Sembilan.
Beliau memperoleh 5,522 undi sekali gus mengatasi pencabarnya yang juga Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mendapat sebanyak 2,559 undi.
Berdasarkan keputusan yang dikeluarkan oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menerusi laman web wwww.pemilihankeadilan2022.com, Rafizi menang di tujuh daripada lapan cabang PKR di negeri ini.
Rafizi cuma tewas di Cabang Rasah selepas hanya mendapat 295 undi berbanding Saifuddin yang memperoleh 390 undi.
Bagi perebutan empat kedudukan Naib Presiden, calon dari kem Rafizi iaitu Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang serta bekas Ahli Parlimen Kapar, G. Manivanan.
Bagaimanapun, beberapa calon Naib Presiden lain seperti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendapat undian tertinggi bagi jawatan tersebut di Cabang Rasah iaitu sebanyak 378 undi. Beliau turut mendapat sebanyak 1,019 undi dari Cabang Port Dickson.
Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak turut mendapat sebanyak 328 undi dari cabang Rasah bagi jawatan Naib Presiden. – UTUSAN